am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci berhubung perkembangan kes GISB Holdings (GISBH) di negeri ini untuk tindakan lanjut termasuk menutup premis seperti dilakukan di Selangor.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya enggan membuat keputusan awal memandangkan siasatan terhadap kes itu masih dijalankan pihak berkuasa.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat dan kalau terbukti melanggar dari sudut agama dan peraturan lain, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya.
“Tapi buat masa ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu iaitu polis dan hal ehwal agama untuk siasat, kita akan terima laporan nanti.
“Kita tidak mahu buat keputusan awal sebab ketuanya (Pengarah Eksekutif GISBH) pun dalam proses pendakwaan dan kita tunggu sahaja lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Penghormatan Kebesaran Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55, di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, setakat ini beliau dimaklumkan terdapat beberapa premis perniagaan, sebuah pusat pengajian dan hotel milik GISBH di Kelantan.
Ketika ditanya sama ada terdapat kakitangan kerajaan negeri atau penyokong Pas yang terbabit menjadi ahli GISB, beliau menafikan dan yakin tiada yang menyertai gerakan itu.
“Tak ada! Sama ada kakitangan kerajaan (negeri) atau ahli PAS, memang tiada, kita yakin,” katanya.
Semalam media melaporkan, Kerajaan Selangor mengambil tindakan dengan mengarahkan semua premis GISBH di negeri itu ditutup berkuat kuasa serta-merta dan merampas segala aset syarikat berkenaan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, akan mengumumkan pada Rabu ini jumlah keseluruhan premis, termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama berkaitan GISBH di negeri itu.
Pada 11 September lalu, menerusi Op Global, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




