Glide Technology sasar jualan tumbuh 30% pada 2025

Glide Technology sasar jualan tumbuh 30% pada 2025

PETALING JAYA: Glide Technology Sdn. Bhd. (GTSB) menyasarkan pertumbuhan jualan minyak pelincir sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun kewangan 2025 berbanding 2024, disokong pelaburan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presiden dan Pengasas Glide Group Datuk Muhazli Muhamad berkata, sepanjang 2023 dan 2024, syarikat memberi tumpuan kepada pembangunan produk, termasuk menjalankan ujian teknikal serta memperoleh peralatan bagi memperkukuh kualiti dan keupayaan pengeluaran.

“Tahun lalu (2024) kita sudah mula melihat hasil daripada pelaburan tersebut. Jadi, bagi tahun ini (2025), kita meletakkan sasaran peningkatan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu.

“Walaupun kadar itu dilihat lebih tinggi berbanding pertumbuhan kebiasaan industri sekitar 10 hingga 15 peratus, sasaran ini dibuat berdasarkan perancangan teliti serta kapasiti semasa syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, antara pemacu utama ialah pengkomersialan produk baharu yang dibangunkan sejak dua tahun lalu selain kerjasama penjenamaan bersama Petronas menerusi produk PETRONAS Tranol Glide yang telah memperoleh kelulusan pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, prestasi pasaran eksport turut menunjukkan peningkatan apabila menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan pada 2024 berbanding sekitar 10 hingga 11 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, jualan eksport meningkat hampir 28 hingga 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap produk syarikat di luar negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui faktor luar jangka seperti ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran, berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dan penghantaran ke pasaran tertentu.

“Sebahagian penghantaran ke Afrika perlu melalui negara transit dan sebarang gangguan boleh memberi kesan kepada kos serta tempoh penghantaran. 

“Jika keadaan berlarutan, syarikat mungkin menilai semula fokus pasaran eksport dan memperkukuh pasaran domestik.

“Sekiranya situasi ini berterusan, ia berpotensi menyebabkan penyusutan dalam pasaran eksport serta memberi impak kepada pasaran domestik, khususnya dari aspek bekalan bahan mentah seperti base oil dan bahan tambahan (additives) yang diimport dari Eropah,” jelasnya.

Selain itu,  syarikat pengeluar minyak pelincir milik penuh bumiputera itu turut memberi tumpuan kepada segmen marin menerusi Glide Marine Sdn. Bhd. (Marine Group)  dengan memperkasa tenaga mahir tempatan dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Kita yakin kepakaran teknikal tempatan mampu bersaing, namun usaha ini memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan pemain industri,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top