Penyertaan dalam misi kemanusiaan awam terbesar, Global Sumud Flotilla tidak membawa mesej politik atau keagamaan, sebaliknya bertujuan menyampaikan mesej keamanan dan kemanusiaan kepada dunia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peserta misi dari pelbagai negara, bangsa dan agama itu membawa mesej jelas bahawa Palestin mesti merdeka.
“Berbekalkan tekad dan keazaman untuk menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa keganasan dan kezaliman di Palestin harus dihentikan, kami akan bersama lebih 1,000 peserta seluruh dunia dan 100 lebih kapal dalam misi kemanusiaan awam terbesar ; Global Sumud Flotilla.
“Misi ini bukan membawa mesej politik mahupun keagaaman. Misi ini adalah misi kemanusiaan.
” Peserta berbilang negara, bangsa dan agama berkumpul demi membawa mesej bahawa Palestin harus merdeka,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Amirudin merupakan wakil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu akan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, Amirudin menegaskan masa untuk berdiam diri telah berakhir selepas 70,000 nyawa terkorban manakala bekalan makanan, perubatan dan air bersih dihalang.
“Apakah kita harus terus berdiam diri? Genosid di Gaza harus dihentikan.
“Inilah amanah yang disampaikan oleh Perdana Menteri bahawa Malaysia tegas menolak sebarang penindasan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
“Doakan kami, doakan agar semua peserta misi ini dilindungi, dirahmati dan dipelihara. Free Palestine,” katanya.




