Gobind gesa Abdul Hamid buat laporan

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador digesa membuat laporan supaya dakwaan wujudnya kartel dalam Polid Diraja Malaysia (PDRM) dapat disiasat secara terbuka dan telus dalam kadar segera.

Ahli Parlimen Puchong (DAP), Gobind Singh Deo berkata, sememangnya dakwaan Abdul Hamid itu menimbulkan persoalan integriti pasukan polis di negara ini.

“Dakwaan ini sangat serius yang pastinya mempengaruhi integriti polis. KPN perlu membuat laporan terhadap pegawai-pegawai itu supaya siasatan dapat dijalankan dengan telus.

“Siasatan ‘dalaman’ sahaja tidak cukup untuk tangani isu seperti ini. Pegawai polis tidak kisah yang bawahan mahupun tinggi pangkatnya tidak sepatutnya ‘kebal’ undang-undang,” katanya menerusi laman sosial Facebook.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multi Media itu berkata, walaupun beliau memuji Abdul Hamid kerana bercakap benar mengenai masalah ini dan usahanya untuk membersihkan pasukan polis, namun tindakan beliau perlu seiring dengan kata-katanya supaya usaha menangani tuduhan tersebut dibuat.

“Saya minta  beliau untuk segera buat laporan berikutan tuduhan ini, biarlah siasatan telus membuktikan pendedahan ini,” ujar beliau lagi.

Abdul Hamid membuat pendedahan mengejut apabila mendakwa terdapat usaha pihak-pihak tertentu dalam PDRM yang mahu menguasai pasukan keselamatan itu bagi memudahkan mereka melakukan ‘kerja-kerja kotor’.

Jelas Abdul Hamid, beliau begitu terkesan dengan perkara itu dan berharap kumpulan tersebut segera insaf.

Abdul Hamid, 62, dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021. – MalaysiaGazette

KPN mahu Kartel PDRM bermuhasabah, dedah untuk pengetahuan menteri