am@hmetro.com.my
Tumpat: Keinginan mahu mencuba dadah pil kuda selepas melihat ahli keluarga terjebak penagihan dadah jenis sama akhirnya menjerat seorang remaja lelaki.
Walaupun sempat mencuba beberapa biji pil kuda dalam tempoh tidak sampai sebulan, Shahrul (bukan nama sebenar), 18, bersyukur kerana ‘diselamatkan’ seterusnya menjalani hukuman di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
Shahrul berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai buruh dan peniaga pasar malam menggunakan wang hasil kerja untuk membeli dadah.
“Biasanya saya akan beli dua biji (pil kuda) pada harga RM15 dan cukup untuk diguna dalam tempoh seminggu.
“Saya hanya ingin mencuba dan mengetahui apa kesannya kerana selalu melihat abang menggunakan pil kuda. Syukur kerana saya masih sempat diselamatkan manakala abang pula sudah ‘cuci tangan’ selepas menjalani hukuman
“Selepas bebas sepenuhnya nanti, saya berhasrat ingin bekerja kilang selain mencari mana-mana peluang yang sesuai demi masa depan saya,” katanya semalam.
Shahrul dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan selama 120 jam dalam tempoh setahun.
Dia ditemui pada Program PKM Beret 2025 dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor tadi.
Seorang lagi pelatih yang ditemui, Rizal (bukan nama sebenar), 18, yang menjalani PKM selama 260 jam atas kesalahan mencuri kenderaan, mengakui hukuman yang sedang dijalani sekarang banyak memberi manfaat kepadanya.
Rizal berkata, banyak pendedahan yang diperolehnya melalui PKM sekaligus menjadikan dia seorang yang berdikari.
“Kesalahan (mencuri kenderaan) yang saya lakukan sebelum ini tidak disengajakan kerana niat hanya ingin `pinjam’ tapi berlaku sedikit salah faham.
“Saya reda namun terselit rasa syukur kerana menjalani PKM dan didedahkan dengan banyak aktiviti bermanfaat yang sebelum ini tidak pernah saya lakukan,” katanya yang ingin menceburi bidang kemahiran selepas tamat PKM tidak lama lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd