Liverpool: Penyerang Everton, Thierno Barry meneruskan rentak cemerlangnya dengan gol penyamaan lewat permainan untuk seri 1-1 menentang Leeds yang sedang bergelut di Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Pasukan David Moyes diejek penyokong sendiri ketika rehat separuh masa selepas James Justin meletakkan Leeds di hadapan di Stadium Hill Dickinson.
Namun, Barry meredakan kekecewaan penyokong Everton dengan penyudah tenang 14 minit sebelum tamat perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu kini menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan liga terakhir selepas hanya meledak satu gol dalam 18 perlawanan awal selepas perpindahannya dari Villarreal tahun lalu.
“Jika anda seorang penyerang tengah, anda perlu menjaringkan gol dan dia tidak melakukannya pada awalnya. Dia semakin baik,” kata Moyes.
“Dia berlatih dengan baik dan semakin biasa menjaringkan gol. Kami perlu mencipta lebih banyak peluang dan kami masih cuba mendapatkan semula pemain serangan kami.
“Saya benar-benar gembira dengan reaksi pasukan. Saya mempunyai kumpulan pemain sangat kuat yang saling menuntut prestasi antara satu sama lain.”
Everton berada di tangga ke-10 manakala Leeds enam mata di atas zon penyingkiran EPL.
Kemenangan West Ham dan Nottingham Forest pada hujung minggu lalu meningkatkan tekanan ke atas Leeds untuk membalas dengan kemenangan sendiri ketika perebutan untuk mengelak penyingkiran semakin sengit.
Justeru, keputusan itu adalah satu peluang yang terlepas buat pasukan Daniel Farke, yang hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan liga terakhir.
“Kami agak kecewa kerana tidak jauh daripada memenanginya. Kami sangat dominan pada separuh masa pertama,” kata Farke.
“Ia adalah persembahan cemerlang di tempat lawan. Tiada apa yang dicapai lagi, tetapi kami perlu teruskan dan perlu kekal merendah diri.”
Farke sebelum ini menyifatkan Dominic Calvert-Lewin sebagai antara penyerang Inggeris terbaik menjelang kepulangan pertama penyerang Leeds itu ke bekas kelabnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




