‘Gol JDT, gol kedua Al-Ahli tidak sah’ – Bekas pengadil Arab Saudi

‘Gol JDT, gol kedua Al-Ahli tidak sah’ – Bekas pengadil Arab Saudi
‘Gol JDT, gol kedua Al-Ahli tidak sah’ – Bekas pengadil Arab Saudi

Gol kedua Al-Ahli yang dijaringkan oleh Galeno didakwa tidak sah. Foto Al-Ahli

KEPUTUSAN pengadil yang mengesahkan gol pembukaan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta gol kedua Al-Ahli dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) pada Jumaat didakwa sebagai satu kesilapan besar.

Bekas pengadil antarabangsa Arab Saudi, Saad Al-Kathiri mendakwa, kedua-dua jaringan tersebut sepatutnya dibatalkan selepas berlaku kekasaran sebelum gol dihasilkan.

Mengulas mengenai jaringan JDT pada minit ke-19, Saad menjelaskan bahawa pengadil terlepas pandang kekasaran yang dilakukan oleh pemain Harimau Selatan terhadap pertahanan Al-Ahli.

“Mengesahkan gol untuk pasukan Malaysia, Johor pada minit ke-19 adalah keputusan yang salah oleh pengadil. Terdapat kekasaran iaitu tolakan dari belakang ke atas pemain pertahanan Al-Ahli sebelum gol dijaringkan.

“Video Bantuan Pengadil (VAR) sepatutnya memanggil pengadil untuk menyemak semula insiden tersebut kerana ia adalah keputusan yang memberi impak besar kepada perlawanan,” katanya yang menjadi penganalisis pengadilan untuk media Arab Saudi, Al-Jazirah.

Gol berkenaan meletakkan JDT di hadapan sebelum Al-Ahli berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Frank Kessie hasil sepakan penjuru pada penghujung babak pertama.

Namun, kontroversi tidak terhenti di situ apabila Saad turut mempersoalkan jaringan kedua Al-Ahli pada minit ke-56 yang memberikan kelebihan buat kelab Arab Saudi itu.

Menurutnya, pemain Al-Ahli terlebih dahulu melakukan kekasaran terhadap pemain JDT sebelum bola menerjah gawang.

“Mengira gol kedua Al-Ahli pada minit ke-56 juga adalah keputusan yang salah. Terdapat kekasaran oleh pemain Al-Ahli yang menerjah secara meluru ke atas kaki pemain Johor sebelum gol dihasilkan.

“Sekali lagi, VAR sepatutnya memainkan peranan dengan memanggil pengadil untuk meninjau semula insiden itu dan membatalkan gol tersebut,” tegas beliau.

Dalam perlawanan itu, Al-Ahli mara ke separuh akhir ACLE selepas menewaskan JDT 2-1.

Scroll to Top