
LONDON: England akan beraksi pada final pertama mereka dalam kejohanan utama selepas 55 tahun apabila bangkit dari ketinggalan menewaskan Denmark 2-1 pada masa tambahan di depan 65,000 penyokong dalam separuh akhir Euro 2020 di Wembley sebentar tadi.
Sepakan percuma menakjubkan dari Mikkel Damsgaard selepas minit ke-30 pada awalnya memberi ancaman buat pasukan Gareth Southgate, tiga tahun selepas tewas dalam empat pasukan terakhir dalam kejohanan Piala Dunia.
Namun, gol sendiri Simon Kjaer lapan minit kemudian dan ledakan gol kemenangan Harry Kane selepas Kasper Schmeichel menyelamatkan penalti kontroversinya yang diberikan pada minit ke-104.
Ini sekaligus mengesahkan England ke slot final menentang Itali di Wembley pada Ahad.
Ia adalah final kejohanan utama pertama buat England sejak Piala Dunia 1966.
Kekalahan ini sekaligus menamatkan kisah dongeng Denmark di laluan separuh akhir, perjalanan paling jauh pernah dilalui mereka sejak muncul juara pada Euro 92.
Denmark memulakan kejohanan itu dengan kisah sedih apabila pemain tengah mereka, Christian Eriksen mengalami serangan jantung pada perlawanan pertama menentang Finland.
Sejak kejadian itu skuad bimbingan Kasper Hjulmand beraksi dengan penuh emosi dan berjaya melepasi halangan Russia serta Wales ketika dalam perjalanan ke separuh akhir.
Bagaimanapun, kelebihan paling besar England adalah beraksi sebanyak enam kali di laman sendiri sehingga membuatkan pasukan mereka kelihatan lebih segar untuk menempuh setiap halangan.



