London: Phil Foden menyelamatkan maruah Manchester City selepas pasukan pencabar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hampir dimalukan apabila mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Leeds di Stadium Etihad, awal pagi tadi.
Skuad Pep Guardiola berdepan risiko tercicir lagi dalam perebutan gelaran susulan kejatuhan prestasi mendadak pada babak kedua di Stadium Etihad.
Foden dan Josko Gvardiol meletakkan City selesa dengan dua gol sebelum rehat, namun Leeds yang berada di tangga ketiga tercorot bangkit menerusi Dominic Calvert-Lewin dan Lukas Nmecha.
Foden akhirnya memastikan tiga mata penuh dalam aksi penuh debaran itu, sekali gus meletakkan City ke tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu, Arsenal yang akan berkunjung ke tempat ketiga, Chelsea, awal pagi esok.
Kemenangan itu cukup penting selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Newcastle minggu lalu dan Bayer Leverkusen di pentas Liga Juara-Juara.
“Ia satu kelegaan. Separuh masa pertama tidak sempurna, tapi perlawanan sepatutnya sudah boleh ditamatkan dengan peluang yang kami ada.
“Bola sepak penuh emosi. Kami bolos gol kedua dan selepas itu kami bangkit semula. Akhirnya, ia semua mengenai kualiti Phil,” kata Guardiola selepas tamat perlawanan.
City mencatat permulaan musim paling hambar dalam tempoh lima tahun, dan kedua terburuk sejak Guardiola mengambil alih.
Namun mereka hanya memerlukan 59 saat untuk membuka jaringan apabila Foden meledak rembatan jarak dekat yang terkena palang sebelum masuk.
Leeds tidak mampu mengekang rentak laju City pada awal permainan, dan Gvardiol tampak seolah-olah mengesahkan penguasaan penuh tuan rumah dengan gol mudah hasil tandukan Nico O’Reilly pada minit ke-25.
Calvert-Lewin yang baru dimasukkan segera memberi impak apabila merapatkan kedudukan dengan penyudah cantik pada minit ke-49.
Leeds kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti Nmecha, yang diberikan selepas Gvardiol mengasari Calvert-Lewin, namun percubaan itu diselamatkan Gianluigi Donnarumma sebelum Nmecha pantas menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol.
Pada masa kecederaan, Foden bijak mencipta ruang sebelum menghasilkan penyudah tenang yang akhirnya memberi kelegaan kepada Guardiola.
© New Straits Times Press (M) Bhd



