Gol Merino di masa tambahan bawa Sepanyol ke separuh akhir

Gol Merino di masa tambahan bawa Sepanyol ke separuh akhir

Stuttgart: Gol Mikel Merino dalam masa tambahan memberikan kemenangan dramatik 2-1 kepada Sepanyol ketika menentang Jerman dalam perlawanan suku akhir Euro 2024 yang menarik sebentar tadi.

Ia adalah pertembungan antara dua negara yang paling berjaya di kejohanan ini.

Perlawanan mencecah sehingga minit ke-119 dan seakan bakal berakhir dengan penentuan penalti sebelum pemain gantian Merino tampil untuk menanduk gol kemenangan hasil hantaran Dani Olmo dan menghancurkan hati ramai penonton di dalam Arena Stuttgart.

Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, Olmo meletakkan Sepanyol di depan enam minit selepas rehat tetapi Jerman mengheret aksi ke masa tambahan melalui gol pada minit ke-89 daripada Florian Wirtz.

Jerman yang juga tuan rumah mengejar mencari gol penyamaan sehingga lewat perlawanan tetapi Sepanyol mampu bertahan untuk mara ke separuh akhir dan berdepan sama ada Portugal atau Perancis Rabu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top