Gol saat akhir selamatkan Ukraine – Utusan Digital

Gol saat akhir selamatkan Ukraine – Utusan Digital

GLASGOW: Artem Dovbyk membuka pintu buat Ukraine ke suku akhir Euro 2020 menerusi jaringan kemenangan 2-1 ke atas 10 pemain Sweden dalam aksi yang mengheret ke masa tambahan di Hampden Park, sebentar tadi.

Jaringan menerusi tandukan tersebut hadir pada saat-saat akhir, ketika kedua-dua jurulatih ligat memikirkan perancangan untuk sepakan penalti penentuan.

Saingan tersebut turut dibayangi insiden ngeri di mana Marcus Danielson membuat terjahan keras ke atas penyerang Ukraine, Artem Besyedin pada minit ke-99.

Pertahanan Sweden itu terus dilayangkan kad merah selepas pengadil merujuk video bantuan pengadil (VAR) berhubung tindakan Danielson ke atas Besyedin, yang hanya berkesempatan bermain selama sembilan minit.

Terdahulu, Oleksandr Zinchenko membuka jaringan buat skuad kendalain Andriy Shevchenko pada minit ke-27, namun Emil Forsberg menyamakan kedudukan 16 minit kemudian, dengan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit permainan.

Ini kali kedua Ukraine mara ke suku akhir dalam kejohanan besar, di mana sebelum ini berlaku pada Piala Dunia 2006, sebelum tewas kepada Itali.

PEMAIN Ukraine meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menumbangkan Sweden 2-1 dalam saingan 16 pasukan terakhir Euro 2020 di Hampden Park, Glasgow, hari ini.- AFP

Ukraine bakal menempah pertemuan dengan England dalam aksi suku akhir di Rom, Itali pada Sabtu ini.- AGENSI

Scroll to Top