Gol ‘tangan’ Shukor selamatkan KL City ? – Utusan Digital

SHAH ALAM: Gol kontroversi yang dijaringkan pemain berpengalaman, Shukor Adan pada minit terakhir perlawanan menyelamatkan maruah Kuala Lumpur City (KL City) daripada dimalukan UiTM FC untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam hari ini.

Jaringan Shukor itu seakan-akan menggunakan tangannya selepas menerima sepakan bola mati yang dilakukan kapten pasukan, Paolu Josue pada minit ke-90 namun terlihat juga seperti ditanduk pertahanan UiTM, Victor Clotaire ke gawang sendiri.

Apapun, keputusan seri itu memberi kelegaan buat pengendali KL City, Bojan Hodak yang menyaksikan The City Boys terus kemarau mencipta kemenangan di laman lawan dalam tujuh perlawanan selepas sekadar meraih keputusan tiga seri dan empat kekalahan.

Jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia yang bermula 3 hingga 30 Mei, nyata dimanfaatkan sepenuhnya UiTM dengan melakukan pertukaran empat pemain import.

Kedatangan pemain baharu itu berjaya mengubah corak permainan UiTM apabila memberi cabaran sengit kepada KL City.

Tuan rumah hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-42 namun rembatan Khairul Izuan Rosli sekadar menggegar gawang gol pelawat.

Aksi babak pertama buat kedua-dua pasukan seimbang apabila masing-masing melakukan serangan tetapi buntu menemui sentuhan penyudah.

The City Boys memulakan babak kedua lebih agresif apabila mencipta peluang pada minit ke-59 tetapi rembatan kaki kiri, Paulo Josue berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah, Azfar Arif Mohd Sukri.

Tersentak dengan percubaan itu, UiTM kembali mengatur gerakan serangan dan gol yang dinantikan muncul pada minit ke-82 menerusi ledakan pemain tengah baharu dari Korea Selatan, Yonghyun Kwon dengan menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82.

Terdahulu, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan KL City, Irfan Zakaria menjatuhkan Kwon.

Penjaring hatrik KL City dalam perlawanan sebelum ini, sekali lagi memperolehi peluang menerusi sepakan bola mati namun rembatannya sekadar menggegar palang gol tuan rumah pada minit ke-86.

Ketika UiTM sudah diambang kemenangan, tandukan Victor selepas cuba mengeluarkan bola sepakan percuma Paolu menuju ke gawang sendiri, disusuli tiupan wisel penamat perlawanan.

Pertemuan pertama di laman KL City menyaksikan mereka sekadar meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas lawan sama.

Scroll to Top