KUALA LUMPUR : Jaringan tunggal Mohamad Amirul Aiman Mohd Nasaruddin pada minit ke-56 sudah cukup untuk menghadiahkan Perak FA bekalan selesa menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala Cabaran 2026.
Dalam pertembungan di Stadium UM Arena sebentar tadi, jaringan Amirul Aiman memastikan Perak membawa pulang kemenangan 1-0 ke Ipoh sekali gus meletakkan skuad The Bos Gaurus dalam kedudukan lebih selesa.
Perlawanan berlangsung sengit sejak wisel permulaan dengan kedua-dua pasukan saling mengasak dalam usaha mencari gol awal.
UM Damansara United yang beraksi di laman sendiri terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Perak menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun gagal menewaskan penjaga gol pelawat.
Perak yang lebih banyak mengatur serangan balas akhirnya memecah kebuntuan pada babak kedua apabila Amirul Aiman muncul wira pasukan apabila tenang menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-56 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru untuk meletakkan pelawat di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, UM Damansara United menggandakan asakan dalam usaha memburu gol penyamaan, namun kekentalan benteng pertahanan Perak berjaya mengekang setiap percubaan tuan rumah.
Keputusan itu menyaksikan Perak kini memiliki kelebihan tipis menjelang aksi timbal balik di Ipoh, manakala UM Damansara United perlu bangkit sekiranya mahu menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.-UTUSAN




