Gold Choice fokus pasaran Malaysia

Gold Choice fokus pasaran Malaysia

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Gold Choice Biotech Sdn Bhd (Gold Choice), pengeluar industri makanan dan minuman terkemuka, akan memfokus pasarannya di Malaysia terutama melalui pengenalan produk kesihatan di bawah jenama Bioley.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Jenamanya Wincent Cheah berkata, dengan pengalaman 30 tahun dalam menghasilkan produk minuman berkualiti tinggi, Gold Choice berjaya membina reputasi sebagai jenama yang dipercayai oleh pengguna tempatan dan antarabangsa.

Katanya, 20 tahun sebelum ini syarikat banyak menumpukan perniagaan globalnya, baik melalui jenama sendiri mahupun sebagai penyedia syarikat kontrak pengilang (OEM).

“Kami kini mengeksport ke pelbagai negara, termasuk Singapura, China, Macao, Itali, Dubai serta Filipina dan syarikat kini memilih untuk memperkuat kehadiran di Malaysia.

“Pasaran global menyumbang jualan lebih kurang 70 peratus kepada syarikat, manakala selebihnya adalah tempatan dan kami optimis untuk mengimbanginya secara berperingkat serta yakin dengan potensi pasaran Malaysia,” katanya kepada Bisnes Metro pada sesi temubual secara maya di sini.

Menurutnya, setakat ini syarikat mempunyai kira-kira 40 unit simpanan stok (SKU) di bawah jenama Gold Choice, Bioley, Bino-Zambai, Walter dan Farmer Fresh.

Selain itu, katanya sebagai penyedia perkhidmatan OEM, pihaknya bekerjasama dengan beberapa jenama terkenal di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Dari segi populariti, rangkaian kopi putih Jinbao kami adalah yang paling menonjol, bersama kopi yang diperkaya dengan herba.

“Secara khusus, kopi Gold Choice Tongkat Ali Ginseng dan kopi Kacip Fatimah & Manjakani di bawah jenama Wanis amat digemari pelanggan kami.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan peningkatan permintaan untuk produk berfokuskan kesihatan, Toco Oats Bioley kami sudah menjadi fokus utama dan mendapat perhatian signifikan di pasaran sasaran,” katanya.

Beliau berkata, Toco Oats Bioley produk yang melalui hasil ujian klinikal manusia selama dua tahun dengan kerjasama Sekolah Teknologi Industri-Bahagian Makanan di Universiti Sains Malaysia (USM), di mana syarikat telah membiayai sebanyak RM360,654.40 bagi mengesahkan nilai saintifik produk terbabit.

“Kami sedang berusaha untuk mengembangkan lebih banyak produk berfokuskan kesihatan, sama ada untuk kesejahteraan umum atau sebagai tambahan makanan dan minuman terbaik.

“Matlamat kami adalah untuk terus memperluas rangkaian produk kami bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan yang lebih sihat yang memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan OEM Gold Choice atau produk, boleh e-mel ke feelgood@goldchoice.com.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top