Golden Dome gugat keseimbangan dunia

Golden Dome gugat keseimbangan dunia

WASHINGTON – Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan projek pertahanan peluru berpandu baharu dikenali sebagai Golden Dome for America, yang bertujuan melindungi Amerika Syarikat (AS) daripada serangan luar termasuk dari angkasa lepas.

Trump berkata, sistem pertahanan pelbagai lapis itu akan menggunakan teknologi terkini yang merangkumi darat, laut dan angkasa. Ia bakal menjadi sistem pertama yang menempatkan senjata AS di angkasa.

Menurut Trump, sistem ini mampu mengesan dan memintas peluru berpandu dari mana-mana lokasi di dunia, termasuk jika ia dilancarkan dari angkasa, namun beliau mahu sistem itu siap sebelum penggal pentadbirannya tamat.

Roket dari Lebanon ditepis oleh sistem Iron Dome Israel di Galilea Utara. Foto AFP

Roket dari Lebanon ditepis oleh sistem Iron Dome Israel di Galilea Utara. Foto AFP

Golden Dome menggabungkan keupayaan pengesanan awal, pemintasan semasa pelancara, di pertengahan laluan dan saat terakhir sebelum peluru berpandu sampai ke sasaran.

Jeneral Gregory Guillot dari Komando Utara AS berkata, sistem itu akan melibatkan tiga lapisan iaitu satu untuk mengesan ancaman, satu untuk menangkis ICBM (peluru berpandu balistik antara benua) dan satu lagi bagi peluru berpandu jelajah serta ancaman udara.

Pakar pertahanan, Jeneral bersara Frank McKenzie, menegaskan masa paling sesuai untuk memintas peluru berpandu ialah sebaik ia dilancarkan dan ini hanya boleh dilakukan melalui sistem berasaskan angkasa.

Beliau berkata, sistem itu adalah realistik dan telah lama dikaji, malah percaya keupayaan saintifik AS akan membolehkan ia direalisasikan.

Penganalisis pertahanan Tom Karako pula berkata, Golden Dome dibina berdasarkan perancangan jangka panjang, bukan secara tergesa-gesa.

Namun, kos projek ini amat besar. Pejabat Belanjawan Kongres menganggarkan komponen angkasa sahaja mencecah AS$542 bilion (RM2.6 trilion).

Iron Dome Israel diletakkan di Sderot ketika ketegangan memuncak di sempadan Gaza. Foto AFP

Iron Dome Israel diletakkan di Sderot ketika ketegangan memuncak di sempadan Gaza. Foto AFP

Trump berkata, projek itu akan dibangunkan di beberapa negeri termasuk Florida, Georgia, Indiana dan Alaska, melibatkan syarikat-syarikat pertahanan utama yang belum diumumkan.

Syarikat Lockheed Martin menyokong inisiatif ini dan menyamakannya dengan “Projek Manhattan”, menggambarkan betapa pentingnya projek ini untuk keselamatan AS.

Ketua Operasi Lockheed, Frank St. John, menjelaskan bahawa sistem ini akan menangkis peluru berpandu nuklear, balistik jarak sederhana, peluru berpandu jelajah serta pelbagai ancaman udara lain.

Trump juga mengumumkan Jeneral Michael Guetlein dari Pasukan Angkasa akan mengetuai projek ini, walaupun tiada dana rasmi diperuntukkan setakat ini dan projek masih dalam peringkat konsep.

Golden Dome dikatakan diinspirasikan daripada sistem Iron Dome Israel yang dibangunkan pada 2011 dan berjaya memintas ribuan roket dengan kadar kejayaan melebihi 90 peratus.

Bagaimanapun, China membidas projek ini dan mendakwa ia mencetuskan perlumbaan senjata serta meningkatkan risiko angkasa menjadi medan perang.

Malah, Beijing menyifatkan tindakan AS sebagai mementingkan keselamatan sendiri tanpa memikirkan keseimbangan global.

Namun, McKenzie menempelak kritikan China dengan berkata negara itu sendiri paling agresif dalam ketenteraan angkasa dan menegaskan sistem AS bersifat pertahanan, bukan serangan.

Penilaian agensi risikan AS turut menunjukkan ancaman peluru berpandu global semakin kompleks, dengan China dan Rusia giat membangunkan sistem baru untuk menembusi pertahanan AS.

Trump mempertahankan projek ini sebagai langkah penting demi keselamatan negara. “Mahal, ya. Tapi berbaloi jika ia boleh menghalang satu serangan nuklear,” katanya. – Agensi

Scroll to Top