Golden, KPop Demon Hunters menang Anugerah Grammy

Golden, KPop Demon Hunters menang Anugerah Grammy

Los Angeles : Golden daripada lagu runut bunyi animasi popular Netflix, KPop Demon Hunters memenangi Anugerah Lagu Terbaik bagi kategori Media Visual pada Anugerah Grammy ke-68, sekali gus mencatat sejarah sebagai kemenangan pertama bagi genre K-pop (muzik pop Korea).

Pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Perdana di Crypto.com Arena, di sini. Walaupun jurutera rakaman Korea Selatan, Hwang Byeong-joon, dan artis Korea-Amerika, Yungin, pernah memenangi Grammy sebelum ini, Golden menjadikan ia kali pertama menyaksikan penerbit atau penulis lagu K-pop membawa pulang anugerah itu.

Penulis lagu Ejae, Teddy, 24 dan Ido diiktiraf sebagai pemenang rasmi bagi karya berkenaan.

Selepas kemenangan itu, penerbit serta komposer, 24 mendedikasikan penghargaan kepada Teddy yang tidak menghadiri majlis itu.

Dia mengaitkan proses kreatif kejayaan lagu itu kepada Teddy, sambil menyifatkannya sebagai mentor terhebat dan sahabat terdekat selain perintis K-pop.

Dinyanyikan oleh artis Korea-Amerika Ejae, Audrey Nuna dan Rei Ami sebagai kumpulan gadis dalam filem Huntr/x, Golden mencetus fenomena global apabila menduduki tangga teratas carta Billboard Hot 100 dan Single UK Top 100.

Diterbitkan oleh Sony Pictures Animation, KPop Demon Hunters mengisahkan kehidupan trio kumpulan muzik yang berdepan tugas mengimbangkan kerjaya muzik dengan tugas sebagai pahlawan yang melindungi dunia daripada roh jahat, termasuk pemerintah agung Gwi-Ma dan kumpulan pencuri jiwa Saja Boys.

Dalam satu lagi kategori yang menjadi tumpuan, Anugerah Persembahan Pop Duo/Kumpulan Terbaik dimenangi oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande menerusi Defying Gravity daripada runut bunyi filem Wicked sekali gus menewaskan calon hebat lain termasuk Rose daripada BLACKPINK dengan lagu APT serta Katseye menerusi Gabriela.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top