Golf amal Masjid BTHO kutip dana RM45,000

Golf amal Masjid BTHO kutip dana RM45,000

Cheras: Pertandingan Golf Amal Masjid Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) berjaya mengumpul kira-kira RM45,000 untuk dana pengimarahan masjid menerusi penyertaan 112 peserta di Impian Golf & Country Club di sini, hari ini.

Nazir Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Ustaz Wan BW Deraman berkata, dana itu akan dimanfaatkan bagi memastikan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid dapat dilaksanakan secara berterusan.

“Program ini adalah usaha kita mengumpul dana bagi menyokong aktiviti masjid, khususnya program kebajikan, kuliah agama, aktiviti golongan muda dan kemasyarakatan.

“Pada masa sama, kita berharap program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak masjid dengan komuniti,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Penganjuran pertandingan buat kali kedua itu dipimpin Pengarah Bersama Datuk Che Abd Ghani dan Ketua Biro Ekonomi Masjid Bandar Tun Hussein Onn Mohd Shahimi Yaa’cob.

Dalam pada itu, pihak masjid turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada Tabung Masjid Bandar Tun Hussein Onn bagi menyokong pelbagai aktiviti pengimarahan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Affin Islamic Bank Berhad atas nama Masjid Bandar Tun Hussein Onn, dengan nombor akaun 1068-9000-3645 dan meletakkan rujukan ‘MBTHO BE – Golf Amal’.

Resit sumbangan boleh dihantar melalui WhatsApp ke talian 0122038520 untuk tujuan rekod pihak masjid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top