am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 9,296 individu dilaporkan menjadi mangsa pelaburan tidak wujud sepanjang tempoh Januari hingga November tahun lalu membabitkan jumlah kerugian mencecah RM1.37 bilion.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berkata, pelaburan tidak wujud adalah skim pelaburan palsu yang menipu ramai mangsa membabitkan pelbagai peringkat golongan usia di negara ini.
Katanya, statistik menunjukkan seramai 2,088 mangsa penipuan berusia antara 41 hingga 50 tahun dan individu berusia 51 hingga 60 merekodkan seramai 1,988.
“Seramai 1,881 individu pula direkodkan mangsa berusia 31 hingga 40 tahun, manakala mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun pula seramai 1,290 individu.
“Mangsa berusia lebih 61 tahun pula mencatatkan seramai 1,784 individu dan mangsa berusia 15 hingga 20 tahun pula seramai 265,” katanya dalam kenyataan di Facebook di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan sebarang pelaburan supaya tidak terjebak dalam penipuan.
“Ciri-ciri utama penipuan pelaburan adalah seperti pulangan tinggi dijamin, risiko rendah atau tiada risiko, tekanan untuk bertindak segera dan syarikat tidak berdaftar atau tidak berlesen.
“Selain itu, kekurangan maklumat jelas dan penggunaan individu berpengaruh (Influencer),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




