Gomes buat Penyu menangis

Gomes buat Penyu menangis

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri selepas tumpas 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Pemain tengah, Madger Gomes muncul wira buat pelawat selepas jaringan tunggalnya memastikan skuadnya membawa pulang tiga mata.

Pada perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu berjaya mencetak gol pendahuluan pada babak pertama menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti penyerang, Gervane Kastaneer pada minit ke-32 perlawanan.

Bagaimanapun hasil semakan video bantuan pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih membatalkan jaringan penyerang skuad Piala Dunia Curacao itu kerana mendakwa kapten, Shahrul Nizam Ros Hasni terlebih dahulu mengasari penyerang lawan, Paulo Josue sekali gus menyaksikan kem TFC bangun memprotes keputusan itu.

Terdahulu skuad The City Boys bermula garang dengan percubaan pertama pada minit keempat menerusi tandukan pemain kelahiran Sepanyol, Gorka Larrucea yang berjaya ditepis penjaga gol, Suhaimi Husin.

Selepas itu giliran tuan rumah pula mendapat peluang terbaik untuk di hadapan pada minit kesembilan menerusi Akhyar Rashid, namun rembatan bekas pemain kebangsaan itu melambung tinggi sekali gus melegakan kem pelawat.

Pada minit ke-25, Akhyar sekali lagi berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring gol selepas hanya berdepan dengan seorang pertahanan pelawat hasil serangan balas, tapi sepakannya gagal menerjah jaring.

Penantian pemain KL City untuk memburu gol akhirnya berhasil pada minit ke-62 selepas Gomes bijak melepasi dua pertahanan tuan rumah sebelum melakukan sepakan untuk memperdaya penjaga gol buat pasukannya mendahului 1-0.

Ketinggalan satu gol memaksa ketua jurulatih sementara TFC, Tengku Hazman Raja Hassan melakukan tiga pertukaran dengan memasukkan Saiful Jamaludin, Engku Shakir Engku Yacob dan Shervoni Mabatshoev untuk memburu jaringan penyamaan, namun masih buntu menembusi gawang pelawat.

Pada masa kecederaan berlaku insiden ‘panas’ membabitkan pemain kedua-dua pasukan, namun pengadil berjaya meredakannya bagi mengelak situasi lebih tegang.

Keputusan muktamad KL City FC berjaya meneruskan rentak kemenangan ke atas pasukan itu hasil kemenangan tipis 1-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top