KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar tayar terkemuka, GoodYear mengumumkan akan mula menutup operasi kilang mereka di Shah Alam secara berperingkat bermula 30 Jun ini.
Presiden GoodYear untuk Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata, keputusan itu adalah salah satu daripada transformasi GoodYear Forward yang mahu mengoptimakan operasi syarikat.
Ia sebagai usaha untuk mencapai penurunan kos operasi tahunan GoodYear sebanyak AS$1 billion.
“Seperti mana-mana penutupan kilang, akan ada pihak yang terjejas, dan dalam penutupan kilang kami, kira-kira 550 kakitangan kilang di Malaysia akan terjejas.
“Kami kekal komited untuk melayan semua kakitangan kami dengan cara terhormat dan telus sepanjang proses penutupan ini berjalan,” katanya.
GoodYear mula bertapak di Malaysia (Tanah Melayu) seawal tahun 1929 dan menjadi pembekal tayar untuk kereta pertama negara, Proton Saga dalam tahun 1985.
Goodyear Malaysia akan kekal di dalam pasaran tempatan dengan tayar-tayar yang akan dibawa masuk dari kilang-kilang mereka yang lain di Thailand, Indonesia, China dan Taiwan.
Kilang tayar GoodYear adalah antara kilang terawal di Shah Alam dan dibina dalam tahun 1972.- MalaysiaGazette




