firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kehidupan sukar ditempuh bekas pemain sayap skuad Harimau Malaya, Muhammad Gopi Rizqi yang terpaksa menjual air balang di bazar Ramadan sejak minggu lalu menyentuh perasaan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Gambar Gopi yang tular menjual air balang selepas tidak menerima gaji sejak lapan bulan lalu memilih menjual air balang mata kucing dan jagung serta sedikit kuih-muih.
Dia yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi mengadap Tunku Ismail dan pertemuan itu dikongsikan oleh Pemangku Sultan Johor itu di laman sosialnya malam tadi.
Dalam gambar itu, kelihatan Tunku Ismail dan Gopi bertemu dalam suasana santai sekali gus menggambarkan keprihatinan pemilik JDT itu.
Malah selepas pertemuan itu, pemain sayap lincah itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Ismail dan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi.
“Semoga Allah merahmati dan memberkati Tunku Ismail,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Untuk rekod, Gopi pernah menabur bakti bersama JDT dari 2017 hingga 2018 selain turut beraksi buat Pahang, Selangor, Melaka United, PDRM FC dan Sarawak United.
Musim ini, pemain sayap lincah itu beraksi untuk sebuah pasukan di Lembah Klang dan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro namun difahamkan sudah lapan bulan tidak menerima gaji.
© New Straits Times Press (M) Bhd




