sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic menyatakan perasaan hampa kerana terpaksa pulang ke kampung halamannya tanpa dibayar gaji.
Kemelut tunggakan gaji pemain KDA FC kini dalam keadaan cukup genting dan terus membarah sehingga ke akhir musim ini.
Gordic mengakui tidak menerima sebarang bayaran selepas tamat kempen Liga Super yang mengecewakan buat pasukan Sang Kenari, musim ini.
“Saya pulang ke negara saya di Serbia tanpa wang. Saya mahu menangis, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Saya tak mampu berkata apa apa, saya sungguh sedih,” katanya dalam temu bual bersama stesen televisyen.
Dia mengakui sangat sedih kerana kesukaran dialaminya itu, namun terpaksa mendiamkan diri sahaja.
Gordic antara pemain import yang setia dengan KDA FC walaupun sering dikritik oleh penyokong akibat ketumpulan di depan gol.
Malah, disebabkan kesetiaannya itu, dia masih menerima penghargaan daripada penyokong KDA FC setiap kali beraksi.
“Saya sungguh terharu kerana apabila pergi ke mana-mana pun orang akan mengucapkan terima kasih,” kata penyerang berusia 32 tahun itu yang pernah beraksi di Liga China dan Serbia.
KDA FC menutup musim 2024/2025 dengan kekalahan 0-3 kepada Terengganu FC (FC) dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Ahad lalu dan menduduki tempat ke-11 Liga Super dengan 21 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd