TIADA kemahiran dalam pengurusan haiwan sembelihan antara faktor ramai umat Islam memilih untuk melakukan korban di masjid atau surau berhampiran.
Mana tidaknya, pelbagai kemahiran diperlukan selain penglibatan ramai dalam memproses haiwan sembelihan terutamanya melibatkan aktiviti merebahkan haiwan, menyembelih, melapah, memotong tulang, membersihkan dan banyak lagi sebelum akhirnya ia diagihkan.
Imam Masjid Bandar Seri Putra, Ustaz Mohd Rasyidi Ali menjelaskan, pihaknya bersyukur penyertaan untuk melakukan korban di masjid itu meningkat setiap tahun menandakan kesedaran masyarakat untuk melakukan ibadah korban turut meningkat.
“Setakat ini kita telah mendapat penyertaan untuk ibadah korban sebanyak 14 ekor lembu dan sembilan ekor kambing.

USTAZ MOHD RASYIDI
“Bagaimanapun, kita terpaksa mengehadkan penyertaan walaupun masih ada yang bertanya kerana dibimbangi tidak menang tangan untuk menguruskan semuanya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Ujarnya, bilangan sukarelawan turut ditambah pada setiap tahun bagi melicinkan program gotong-royong korban.
“Ramai sukarelawan mendaftar pada tahun ini terutamanya daripada golongan anak muda dan dewasa, mungkin disebabkan mereka seronok dapat bergotong-royong bersama-sama. Kebiasaannya, yang angkat daging dan potong tulang tu daripada geng muda dan bertenaga.
“Warga emas turut sama menyertai namun mereka banyak memainkan peranan dan memberi sokongan serta nasihat,” jelasnya.
Dinantikan ahli kariah setiap tahun
Ujar Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Selangor (UIS) itu, program gotong-royong sempena Aidiladha sememangnya acara tahunan yang dinanti-nantikan ahli kariah setiap tahun.
Mengimbas kembali pada awal penganjurannya sekitar 10 tahun lalu, penyertaan dan bilangan sukarelawan tidaklah ramai seperti sekarang, ujarnya.
Mengendalikan acara yang melibatkan orang ramai tidaklah mudah, namun dengan perancangan yang rapi dan tersusun sejak awal, ia mampu dilaksanakan dengan jayanya.

APABILA semua orang memainkan peranan yang telah ditugaskan, proses penyembelihan haiwan akan menjadi lebih mudah dan tersusun.
Menurut Ustaz Mohd Rasyidi, semua perancangan, pendaftaran, agihan tugas diuruskan oleh jawatankuasa program korban masjid.
“Ahli jawatankuasa juga turut dibuka kepada jemaah yang berminat namun pihak masjid mengambil tanggungjawab sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berwajib selain mengikuti hukum syarak dan tiada pembaziran.
“Kita mahukan ibadah korban ini dilaksanakan dengan sempurna dan sebaik mungkin, bukan hanya sekadar melengkapkan jadual acara tahunan semata-mata,” jelasnya.
Menjelaskan lebih lanjut berkaitan aktiviti gotong-royong itu, nilai utama yang dapat diterapkan adalah semangat kebersamaan.
“Apabila kita buat bersama-sama, di sana kita akan belajar sikap sabar, tolong-menolong dan rasa syukur dalam diri.
“Bila tengok semua lapisan masyarakat berkumpul, rasa macam satu keluarga yang besar. Cepat atau lambat melakukan tugasan itu lain cerita, janji kita siapkannya bersama-sama,” katanya.
Selain itu ujarnya, ketika itulah kita mempunyai masa untuk berkenalan dengan lebih dekat dengan jiran-jiran.
“Ada yang tak pernah bercakap sebelum ini pun boleh menjadi kawan dalam program ini. Anak-anak juga melihat contoh yang baik daripada ibu bapa dan orang dewasa.
“Jadi, di situlah ukhuwah Islamiah itu semakin meluas dan semakin kuat,” katanya lagi.
Pesannya lagi, satu perkara besar yang boleh diambil sebagai pengajaran dalam program ini ialah pengorbanan yang ditunjukkan dalam diri seseorang itu.
“Ibadah korban bukan setakat menyembelih haiwan sahaja, malah kita belajar untuk korbankan masa, tenaga dan harta demi manfaat bersama dan di sinilah juga kita belajar erti keikhlasan.
“Kita buat semua ini bukan sebab untuk dapatkan pujian, tapi sebaliknya kita mahukan reda ALLAH SWT,” hurainya.
Pihaknya berharap anak-anak muda akan terus mengambil peluang belajar dan mengambil bahagian sekiranya ada program gotong-royong seumpama ini dalam kawasan tempat tinggal masing-masing.

KAUM wanita turut sama memeriahkan gotong-royong sempena Aidiladha tahun lalu. Foto Masjid Bandar Seri Putra
“Jangan tunggu disuruh terlebih dahulu baru nak hadirkan diri. Ini warisan kita, jangan biar ia hilang.
“Belajar daripada orang lama, insya-ALLAH kemudian nanti boleh menggantikan mereka menjadi tulang belakang komuniti pula,” nasihatnya.
Kepada komuniti atau surau kecil yang baru berniat untuk menganjurkan program gotong-royong korban, teruskan niat tersebut, pesan Ustaz Mohd Rasyidi.
“Mula dari kelompok kecil dahulu, apa yang penting ada semangat dan perancangan.
“Jangan takut untuk apabila tersilap langkah kerana dari situ kita belajar dan terus belajar. Pastikan niat betul, jaga adab dan hukum serta jaga hati semua orang. Apabila kita buat dengan ikhlas, ALLAH akan bantu kita,” ujarnya.