GP eRacing kembali lebih meriah

GP eRacing kembali lebih meriah

KUALA LUMPUR: Susulan kejayaan menganjurkan kejohanan Grand Prix (GP) eRacing secara maya tahun lalu, Axle Sports kembali dengan eRacing edisi GP Global kali kelima yang akan bermula esok.

Kejohanan itu menyaksikan pelumba-pelumba simulasi terhandal dari rantau Asia Tenggara bersaing antara satu sama lain dan turut membabitkan beberapa pelumba sebenar yang terbaik di Asia.

Bagi menghangatkan persaingan, Axle Sports menambah baik format pertandingan dengan mengadakan empat kategori – Emas, Perak, Gangsa dan Tembaga.

Untuk kategori Emas dan Perak, pelumba akan memandu jentera perlumbaan DTM 2016 yang diubah suai daripada pengeluar kereta berjenama seperti Mercedes, BMW dan juga Audi.

Kategori Gangsa pula menyaksikan pelumba menggunakan jentera Formula 3 sementara pelumba novis bagi kategori Tembaga menggunakan jentera Aquila CR1 yang diubah suai mengikut kesesuaian.

Kategori Tembaga diperkenalkan bagi peserta yang baru menyertai sukan permotoran simulasi supaya dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan simulator.

Bekas pemandu Formula 1 (F1) Malaysia Alex Yoong yang juga pengasas Axle Sports amat teruja dengan kualiti saingan peserta yang terbabit dalam kejohanan sebelum ini.

Menurutnya, penganjuran pertandingan secara maya yang diluaskan ke seluruh Asia Tenggara memberikan petanda positif buat Axle Sports dalam mencungkil bakat baharu.

“Selepas kejayaan penganjuran eRacing GP Malaysia pada tahun 2019, kami sentiasa mempunyai perancangan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan seperti ini dan ironinya, pandemik COVID-19 seolah-olah membantu kami menyesuaikan diri dengan penganjuran pertandingan ini secara maya.

“Sudah semestinya kami berasa berbesar hati dan bangga dengan kualiti dipamerkan peserta dan saya sendiri melihat prestasi mereka semakin meningkat dari segi pemanduan dan juga profesionalisme mereka.

“Malah, slogan kami #virtualtoreality turut membantu kami berusaha untuk merealisasikan impian peserta menjadi pelumba sebenar satu hari nanti,” kata Alex.

Pemenang atau pelumba yang menunjukkan prestasi yang baik akan diserap oleh Axle Sports untuk menjalani latihan intensif bagi membantu mereka bertanding di trek sebenar suatu hari nanti.

Selain itu, para pemanang dari setiap kategori akan membawa pulang hadiah ditaja Royal Selangor dan juga kemeja-T eksklusif daripada GP eRacing.

Maklumat lanjut berkenaan GP eRacing GP boleh dilayari di laman sesawang www.eracing-gp.com atau terus ke laman rasmi Facebook www.facebook.com/ergpsea.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top