GPS kena 'jam', 1,000 kapal 'hilang panduan'

GPS kena 'jam', 1,000 kapal 'hilang panduan'

Tehran: Pakar berkata, gangguan isyarat navigasi satelit sejak permulaan serangan Amerika Syarikat (AS) – Israel menyebabkan kira-kira 1,000 kapal di perairan Teluk dan Teluk Oman tidak dapat menentukan lokasi mereka.

Pakar dari firma maklumat pasaran tenaga Kpler, Dimitris Ampatzidis berkata, jumlah itu mewakili kira-kira separuh kapal di kawasan berkenaan.

Sebahagian besar kapal terjejas berada di perairan berhampiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

Difahamkan, sistem navigasi satelit membolehkan penerima menentukan lokasi tepat menggunakan isyarat masa daripada konstelasi satelit.

Telefon pintar moden menerima isyarat daripada Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) AS, Galileo Eropah, GLONASS Rusia dan BeiDou China.

Dalam pada itu, pakar di University of Texas di Austin, Prof Kejuruteraan, Todd Humphreys berkata, kebanyakan kapal hanya bergantung pada isyarat GPS awam asal L1 C/A, yang wujud sejak awal 1990-an, menyebabkan ia tidak boleh menggunakan BeiDou atau Galileo jika GPS terganggu.

Keadaan lebih kritikal bagi pesawat kerana penerima GPS terbina hanya menjejaki isyarat L1 C/A, yang sudah ketinggalan 15 tahun.

Difahamkan, pakar memaklumkan, mengganggu isyarat GPS mudah dilakukan dengan pemancar radio lebih kuat, manakala pemalsuan isyarat boleh memanipulasi Sistem Pengenalan Automatik kapal, menyebabkan lokasi palsu dihantar.

Isyarat GPS juga menyokong jam dalaman, radar dan log kelajuan kapal, menjadikan navigasi tanpa GPS berisiko tinggi walaupun kapal diiringi melalui Selat Hormuz.

Kru kapal terpaksa menggunakan instrumen abad ke-20 seperti radar atau mercu tanda untuk menavigasi tanpa GPS.

Gangguan isyarat digunakan secara ofensif dan defensif, termasuk oleh negara Teluk untuk menghalang dron Shahed berpandukan satelit dari Iran, walaupun menjejaskan kehidupan sendiri.

Israel dan Iran juga pernah menggunakan gangguan GPS dalam konflik sebelumnya.

Teknologi alternatif seperti medan magnet bumi dan navigasi inersia sedang dibangunkan, tetapi navigasi kapal tanpa GPS masih jauh daripada realiti sekarang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top