JAKARTA – Firma perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran terkemuka di Asia Tenggara, Grab memperkenalkan 13 ciri baharu yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) di pameran tahunan GrabX 2026.
Pengenalan ciri-ciri baharu berkenaan meletakkan platform syarikat sebagai panduan pintar untuk menambah baik kehidupan seharian, kemudahan perjalanan dan operasi perniagaan di seluruh Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Produknya Philipp Kandal berkata tawaran baharu ini direka bagi membantu jutaan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bijak, mengurangkan halangan dalam pergerakan dan perkhidmatan digital selain menyokong peniaga serta rakan pemandu dalam mengembangkan perniagaan masing-masing dengan lebih cekap.
Beliau menambah inovasi terkini berkenaan mencerminkan visi Grab untuk menjadikan AI lebih praktikal dan boleh diakses oleh pengguna seharian.
“Sebagai pencipta produk, saya percaya AI harus bekerja keras untuk golongan yang paling memerlukannya.
“Produk-produk yang kami lancarkan hari ini berfungsi seperti teman pintar agar dapat membantu menguruskan tugas manual supaya pengguna dapat memberi tumpuan pada aktiviti harian mereka,” katanya.
Sebanyak 13 ciri ini dibahagikan kepada tiga bidang utama iaitu Panduan Seharian untuk Kehidupan Tempatan, Perjalanan Mudah dan Pemerkasaan Perniagaan dikuasakan oleh Lapisan Kecerdasan milik Grab yang memanfaatkan lebih 20 bilion perjalanan dan pesanan.
Grab memperkenalkan lima ciri untuk pasaran Malaysia iaitu Group Ride yang membolehkan sehingga empat pengguna berkongsi perjalanan dengan panggilan yang diselaraskan dan pembayaran berasingan, berpotensi mengurangkan tambang sehingga 40 peratus.
Selain itu Grab More yang membolehkan pengguna membuat pesanan daripada beberapa peniaga berdekatan dalam satu penghantaran tanpa bayaran tambahan.
Ciri-ciri lain yang memberi tumpuan kepada pengguna termasuk GrabMaps for Consumers yang menawarkan perancangan perjalanan, perbandingan pengangkutan masa sebenar, navigasi dalaman dan arahan suara yang diperibadikan.
Selain itu Grab Driver AI Assistant, sebuah chatbot yang direka untuk memberikan panduan masa sebenar mengenai navigasi, operasi dan pengoptimuman pendapatan.
Pada bulan ini, Kandal berkata Grab akan memperkenalkan Cloud Printer untuk pasaran Malaysia yang akan mengautomasikan pemprosesan pesanan antara kaunter hadapan dan dapur bagi mengurangkan kesilapan.
Sementara itu, Cash Loan yang menawarkan akses kredit pantas berasaskan AI dengan pelan pembayaran balik tersuai untuk pengguna yang layak akan diperkenalkan menjelang pertengahan 2026 diikuti dengan Personalised Travel Experience dan GrabStays pada suku ketiga 2026.
Personalised Travel Experience menggabungkan maklumat penerbangan, peringatan dan navigasi lapangan terbang manakala GrabStays menawarkan perkhidmatan tempahan hotel dengan kadar yang sama pada hari yang sama melalui ekosistem rakan kerjasamanya.
Selain itu, syarikat berkata Discover by Grab menyediakan cadangan makanan yang disusun oleh AI berdasarkan keutamaan pengguna dan kandungan komuniti.
GrabPay for Travel pula membolehkan pembayaran berasaskan QR yang lancar di seluruh Asia Tenggara menggunakan kad debit atau kredit sedia ada tanpa memerlukan aplikasi tambahan atau tambah nilai dompet menjelang penghujung 2026.
“Semua ciri ini disokong oleh infrastruktur AI kami yang menukar isyarat dunia sebenar seperti keadaan trafik dan aktiviti di kedai kepada pandangan yang boleh diambil tindakan untuk mengautomasikan tugas dan menambah baik proses membuat keputusan,” kata Kandal.
Sementara itu, syarikat berkata Program Akses Awal mereka berkembang kepada 200,000 pengguna, menyumbang kira-kira 4,000 penambahbaikan ciri sejak diperkenalkan tahun lepas.
Satu fungsi baharu “shake and share” juga diperkenalkan, membolehkan pengguna menghantar maklum balas dengan segera hanya dengan menggoncang peranti mudah alih mereka.
Grab berkata pelaksanaan ciri-ciri ini akan berbeza mengikut pasaran, tertakluk kepada kelulusan peraturan dan kesediaan operasi. – Bernama



