sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ratu baling tukul besi wanita negara, Grace Wong memilih untuk ‘bertapa’ dalam tempoh jangka panjang di China sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurut Grace, dia memilih untuk berkampung di China kerana jurulatihnya, Gu Guan berada di sana dan itu akan memudahkan dirinya menjalani latihan berintensiti tinggi berbanding berlatih di Malaysia.
Katanya, teknik balingan sangat penting kerana ia akan membantu dirinya meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
“Buat masa ini, saya tiada jurulatih khusus di Malaysia dan jurulatih saya berada di China. Bila berlatih di China, jurulatih saya boleh terus pantau dengan lebih dekat dan membetulkan teknik pada waktu itu juga.
“Kalau berlatih di sini, saya perlu hantar video atau membuat panggilan video untuk dilihat kekurangan saya sebelum mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki. Perkara ini akan jadi lambat dan pasti sukar untuk saya meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi,” katanya yang akan kekal di negara itu sehingga September depan.
Selain itu, atlet berusia 26 tahun itu juga bukan hanya menjalani latihan semata-mata, malah akan menyertai beberapa kejohanan terutama di China.
Bagi Grace, persaingan di negara itu cukup sengit kerana atlet mereka mampu melakukan balingan lebih jauh dan itu satu pendedahan awal yang cukup baik buat dirinya.
“Standard pertandingan di China jauh lebih tinggi dengan kebanyakan atlet mencatat balingan antara 70 hingga 78 meter (m).
“Di China, untuk masuk final pun sudah mencabar buat diri ini. Tapi itu bagus untuk saya kerana dapat bersaing dengan atlet terbaik dan meningkatkan prestasi,” katanya.
Untuk makluman, keputusan untuk berlatih di China bukan sesuatu yang baharu buat dirinya kerana sebelum ini dia turut pernah berlatih di sana.
Hasilnya, dia berjaya meningkatkan teknik balingan untuk meraih pelbagai kejuaraan termasuk pingat emas Sukan Sea Thailand hujung tahun lalu.
Dengan lontaran sejauh 65.41m, dia berjaya memecah rekod kebangsaan (63.53m) dan memadam rekod sendiri temasya dwitahunan itu, 61.87m yang dilakukannya di Phnom Penh 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd



