redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Dua hari sebelum majlis konvokesyen pada awal Disember lalu, Wan Abdul Aziz Wan Seman menerima khabar duka apabila ibunya, Rohani Harun diserang angin ahmar hingga lumpuh bahagian kiri badan.
Berikutan itu, Wan Abdul Aziz, 23, terpaksa hadir ke majlis konvokesyen dan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Anugerah Naib Canselor (ANC) di atas pentas tanpa disaksikan ibu tercinta.
Mengenangkan keadaan ibunya yang belum sembuh, Wan Abdul Aziz juga terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mencari rezeki di ibu negara walaupun ada menerima tawaran kerja daripada sebuah syarikat.
Kisahnya mendapat perhatian warganet selepas dia berkongsi video pendek di TikTok menunjukkan rutinnya kini yang menjaga syurganya itu di hospital walaupun ada kelulusan dalam akademik.
Bercerita lanjut, graduan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kuala Lumpur itu berkata, dia sepatutnya mula bekerja di sebuah firma audit di Kuala Lumpur bulan ini.
“Ikutkan, saya boleh saja pergi kerana masih ada adik beradik lain bantu jaga emak di sini.
“Tapi sebagai anak, berat hati saya nak tinggalkan emak dalam keadaannya begitu walaupun sudah pulang ke rumah selepas hampir dua minggu ditahan di hospital.
“Jadi buat sementara waktu, saya bantu jaga emak dulu dan tengok nanti macam mana. Jika masih ada rezeki, saya akan teruskan hasrat kerja di Kuala Lumpur nanti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, perasaannya sangat sedih jika mengimbas kembali detik ketika majlis konvokesyen kerana ibunya tiada bersama.
“Emak yang paling teruja dan bersungguh nak datang serta tengok saya naik pentas tapi tak ada rezeki kerana ditakdirkan dia sakit.
“Sedih dan sebak bercampur baur namun saya terima ketentuanNya. Syukur kerana ujian itu datang ketika saya sudah tamat pengajian kerana jika tidak tentu runsing memandangkan mengikuti latihan industri di Kuala Lumpur.
“Sekurang-kurangnya saya tak ada komitmen lain dan dapat bergilir-gilir dengan abang untuk menjaga emak di hospital sebelum ini,” katanya.
Menurut Wan Abdul Aziz, apa dilakukannya itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan ibunya membesarkan dia dan enak adik beradik lain selepas pemergian bapa tercinta, Wan Seman Wan Kadir kira-kira 20 tahun lalu.
“Ayah meninggal dunia kerana penyakit paru-paru dan selepas ketiadaannya, emak yang cari rezeki menyara kami adik beradik.
“Emak kerja sebagai tukang cuci di klinik dan dengan hasil pendapatannya itu kami semua dapat ke sekolah serta sambung pengajian.
“Sebagai anak, saya tentunya berharap emak cepat sihat kerana menurut doktor, peluang nak sembuh itu ada cuma sekarang kena pantau memandangkan ada kuman dalam darah emak,” katanya.
Wan Abdul Aziz juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan ibunya selepas dia berkongsi video di TikTok.
“Tujuan kongsi suka-suka saja kerana ikut trend dan tak sangka dapat tontonan tinggi.
“Syukur kerana perkongsian itu jadi asbab ramai doakan emak walaupun saya bukan sesiapa dan orang tak kenal pun,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




