am@hmetro.com.my
Shah Alam: “Waktu doktor cakap penyakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE) ini saya akan tanggung seumur hidup, saya hampir putus asa untuk sambung belajar,” kata Siti Izzati Nurul Huda Ibrahim, 22.
Bagaimanapun dengan dorongan keluarga, graduan Diploma Teknologi Reka Bentuk Dalaman di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu cekal meneruskan pengajian dan mengejar cita-citanya.
Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Baling, Kedah itu berkata, dia disahkan menghidapi SLE pada usia 18 tahun dan mula menyedari apabila penglihatan mata kanannya kabur sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftar masuk ke universiti.
“Bila doktor periksa, mereka mendapati saraf mata sebelah kanan saya sudah diserang SLE. Waktu itu saya takut sebab doktor cakap penyakit ini seumur hidup dan waktu itu baru nak mendaftar di universiti.
“Saya pernah fikir untuk tidak sambung belajar namun keluarga banyak memberi semangat untuk saya teruskan pengajian terutamanya ibu,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini, semalam.
Dia berkata, keadaan kesihatannya semakin mencabar apabila SLE menyerang organ dalaman sehingga menyebabkan beliau merasa ‘down’.
“Temu janji pemeriksaan kesihatan pula perlu dilakukan dengan kerap sekali gus menyusahkan keluarga untuk berulang-alik dari Perak untuk membawa saya balik ke Kedah.
“Ada ketika, saya terlalu lemah sehingga sukar untuk berjalan dan terpaksa berhenti seketika ketika menaiki tangga kelas. Dalam setahun memang ada dua atau tiga kali saya masuk wad dan paling lama sampai dua minggu,” katanya.
Siti Izzati berkata, sokongan keluarga terutama ibu bapanya menjadi kekuatan terbesar sepanjang pengajian kerana sanggup menghantar dan mengambil bagi menjalani pemeriksaan di Kedah.
Malah, dia juga amat bersyukur pensyarah serta rakan-rakan sentiasa membantu dan memahami keadaannya yang mana mereka banyak membantu jika dia tidak sihat dan tertinggal kelas.
Kini, graduan itu sudah bekerja sebagai pereka dalaman di Sungai Petani, Kedah sejak awal tahun ini.
Katanya, dia berharap kisah hidupnya dapat memberi semangat kepada orang lain supaya tidak mudah berputus asa walaupun diuji dengan masalah kesihatan.
“Kalau orang yang banyak kekurangan pun boleh berjaya, orang lain pun mesti boleh. Pendidikan itu penting sebab boleh ubah hidup kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



