Graduan UMPSA hampir terlepas konvokesyen akibat kemalangan

Graduan UMPSA hampir terlepas konvokesyen akibat kemalangan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hampir terlepas majlis konvokesyennya hari ini apabila kereta dinaikinya terbabit kemalangan.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, Muhammad Azfar Farhan Mohd Tarmizi, 22, bersama keluarganya dalam perjalanan ke Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang di sini.

Bagaimanapun, kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah kolej universiti di sini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur semua ahli keluarga iaitu ayah, abang dan kakak selamat dan hanya mengalami luka kecil di bahagian muka dan bibir sahaja.

“Sebenarnya kami bermalam di Kuantan dan pagi ini bergerak ke UMPSA, tetapi tidak sangka terbabit dalam kemalangan,” katanya yang berasal dari Alor, Setar, Kedah.

Muhammad Azfar Farhan juga bersyukur tindakan segera dua rakannya, Muhammad Fayyadh Harith Abd Halim dan Muhammad Syafie Notzir mengambilnya bersama ayah dan kakak serta membawa mereka ke dewan konvokesyen membolehkan mereka merakam memori indah majlis itu.

“Saya terharu dengan bantuan rakan yang sanggup berkorban walaupun kami bertiga berada lewat di dalam dewan. Kami juga menghargai petugas UMPSA yang membantu mempermudahkan urusan,” katanya.

Muhammad Azfar Farhan yang kehilangan ibunya, Rusnii Ahmad pada 12 Ogos lalu, gembira kerana dapat merealisasikan impian arwah yang mahu dia menamatkan pengajian.

“Mak, terima kasih kerana memberi semangat kepada saya dan selalu menasihati saya untuk tidak berputus asa dan jangan pernah mengalah,” katanya yang akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Sementara itu, bapa Muhammad Azfar Farhan, Mohd Tarmizi Hashim, 56 berkata, hanya kesyukuran dipanjatkan selepas mereka terselamat dalam kemalangan dan dapat menghadiri majlis itu.

Bagaimanapun katanya, dia terkilan apabila arwah isterinya tiada bersama untuk meraikan kejayaan anak mereka.

“Apapun saya bersyukur dan sangat menghargai bantuan semua pihak termasuk pihak universiti,” katanya.

Susulan tragedi menimpa graduan itu, UMPSA membantu dengan menyediakan pengangkutan dan penginapan untuk meringankan beban.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin turut meluangkan masa menyantuni keluarga berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top