KUALA LUMPUR: Greece dan Latvia mengetengahkan keunikan produk kulinari premium Eropah kepada rakyat Malaysia menerusi Kempen Produk Premium Eropah sempena Pameran Dagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2026.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, kempen dibiayai Kesatuan Eropah (EU) itu berjaya mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin yang menghubungkan pengeluar dari Eropah dengan pemain utama sektor makanan dan minuman tempatan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, kempen yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU)turut menghimpunkan lebih 500 pengeluar dan pemain industri tempatan bagi meneroka peluang kerjasama serta memperluas jaringan perdagangan.
“Acara ini turut membuka peluang kepada restoran, kafe, hotel dan pengusaha perkhidmatan makanan untuk meneroka cara menggabungkan produk premium Eropah ke dalam menu yang diilhamkan daripada cita rasa tempatan, sekali gus menawarkan pengalaman gastronomi yang unik kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang pameran MIFB 2026, pengunjung dan tetamu berpeluang meneroka pelbagai produk premium dari Greece dan Latvia yang dipilih khas, termasuk produk yang diiktiraf mengikut standard EU menerusi Protected Designation of Origin (PDO).
Greece mengetengahkan antara lain keju Graviera Crete PDO, buah zaitun hijau Konservolia PDO, minyak zaitun dara ekstra Crete PDO daripada pelbagai Koroneiki, kismis Corinthian Raisins Vostitsa PDO, resin Masticha Chios PDO serta saffron Krokos Kozanis PDO.
Produk-produk berkenaan bukan sahaja mencerminkan warisan kulinari Greece, malah dilihat mempunyai kesesuaian dengan cita rasa dan gaya masakan rakyat Malaysia.
Benang saffron Krokos Kozanis PDO, kismis Corinthian Raisins Vostitsa PDO serta buah-buahan kering premium dari Latvia, misalnya, boleh digunakan dalam hidangan beras seperti briyani, nasi minyak dan pelbagai hidangan nasi istimewa bagi menambah aroma, warna serta rasa semula jadi.
Minyak zaitun dara ekstra dan buah zaitun meja daripada pelbagai varieti pula sesuai dipadankan dengan makanan laut bakar, ayam panggang, salad, pembuka selera berasaskan sambal serta hidangan moden di kafe.
Sementara itu, keju Graviera Crete PDO yang mempunyai rasa manis dengan sedikit nota pedas boleh digunakan dalam pastri, roti leper, sandwic, salad dan snek gabungan (fusion).
Dari Latvia pula, produk seperti krim keju dan mentega trufel menawarkan pelbagai kegunaan dalam produk bakeri, sapuan roti, sos serta hidangan premium untuk sektor perkhidmatan makanan.
Kepelbagaian produk itu sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pengguna dan pengusaha makanan tempatan untuk meneroka cita rasa antarabangsa, selain mengadaptasinya mengikut selera dan hidangan Malaysia. – UTUSAN



