Greta Thunberg antara 171 aktivis GSF dihantar pulang hari ini

Greta Thunberg antara 171 aktivis GSF dihantar pulang hari ini

Baitulmaqdis: Israel hari ini berkata pihaknya menghantar pulang 171 lagi aktivis yang ditahan ketika mengambil bahagian dalam flotilla bantuan ke Gaza, termasuk Greta Thunberg.

Kementerian Luarnya dalam hantaran di X berkata, “171 provokator tambahan dari flotilla Hamas-Sumud, termasuk Greta Thunberg, telah dihantar pulang hari ini dari Israel ke Greece dan Slovakia.”

Ia menambah bahawa orang yang dihantar pulang adalah warga beberapa negara, termasuk Greece, Itali, Perancis dan Amerika Syarikat.

Gambar yang dikongsi dalam siaran itu menunjukkan Thunberg bersama dua wanita lain berjalan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv dengan memakai pakaian sukan kelabu yang digunakan di penjara Israel.

Kementerian Luar Israel memberitahu AFP terdapat 138 aktivis dari Flotilla Sumud Global (GSF) masih dalam tahanan.

Flotilla 45 kapal itu berlayar dengan tujuan untuk memecahkan sekatan Israel bagi menyampaikan bantuan ke Gaza, yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sahkan berdepan kebuluran selepas dua tahun konflik berlaku.

Israel mula memintas kapal flotilla di perairan antarabangsa pada Rabu lalu.

Keesokannya, seorang pegawai Israel dilapor berkata lebih 400 orang di dalam kapal telah dihalang daripada menjejaki wilayah Palestin.

Pada Sabtu, aktivis antarabangsa yang tiba di Istanbul selepas diusir dari Israel berkata, mereka mengalami keganasan dan dilayan seperti haiwan.

Namun Kementerian Luar Israel dalam hantaran di X hari ini berkata, “semua hak undang-undang peserta dalam aksi PR ini telah dan akan terus dipertahankan sepenuhnya.

“Pembohongan yang mereka sebarkan adalah sebahagian daripada kempen berita palsu mereka yang telah dirancang sebelumnya,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top