Penyanyi muda berbakat, Gretchene Quirina tampil dengan sebuah karya balada berjudul Aku Bodoh yang menyentuh sisi paling rapuh dalam kisah cinta yang tidak dihargai dan keberanian untuk melepaskan meskipun hati belum sepenuhnya sembuh.
Lagu ini membawa pendengar menyelami perasaan seorang gadis yang pernah percaya dia dicintai dengan sepenuh hati, namun akhirnya menyedari hakikat sebenar cinta itu hanya sebelah pihak.
“Aku Bodoh membawa pendengar menghayati perjalanan emosi seorang gadis yang pada awalnya percaya bahawa dia dicintai dengan tulus, namun realitinya berbeza.
“Tatkala kebenaran tersingkap dan hati tidak lagi mampu menanggung derita, dia memilih untuk pergi, membawa luka yang dalam tetapi juga keberanian untuk memulakan lembaran baru,” kata artis naungan XIOKK Entertainment ini.
Disifatkan sebagai lagu yang menjadi suara untuk mereka yang pernah kecewa dalam cinta, Aku Bodoh menonjolkan lirik puitis dan melodi yang sarat emosi. Ia mengangkat kekuatan dalam kerapuhan, tentang bagaimana seseorang bangkit perlahan-lahan dari kekecewaan yang menyakitkan.
“Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai figura hebat. Dengan lirik menyayat hati hasil tulisan Ryenald Guntabid, Melakaboy dan Sa.tugram, lagu ini mendapat sentuhan susunan muzik oleh Irwan Simanjuntak, penerbit terkenal di rantau ini yang sinonim dengan karya-karya berkualiti tinggi.
“Visual lagu turut dilengkapi dengan video muzik arahan Elvin Romeo dengan bantuan Ivan Hiew, manakala suntingan dibuat oleh Al Hanafi Juhar. Paparan diri saya berada dalam suasana sunyi seperti bilik tidur dan ruang tamu menggambarkan suasana kehilangan dan luka emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Menambah tarikan, watak lelaki dalam video muzik ini dibawakan oleh influencer popular dari Indonesia, Juansen, yang mempunyai lebih 7.5 juta pengikut di TikTok.
Gretchene turut dijadualkan tampil dalam Konsert Hologram Glenn Fredly di Kuala Lumpur pada 18 Julai, selain menjadi artis pembuka tirai untuk konsert kumpulan NIDJI di Kota Kinabalu pada bulan Oktober 2025.
Lagu Aku Bodoh kini boleh distrim di semua platform digital dan dijangka mencipta impak tersendiri, bukan hanya di Malaysia, malah berpotensi menembusi pasaran muzik Indonesia.