Paris: Antoine Griezmann mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas 10 tahun bersama pasukan kebangsaan Perancis, menurut pemain itu di media sosialnya, semalam.
Griezmann, 33, menjadi tonggak skuad Perancis yang mara ke tiga final kejohanan utama — tewas final Euro 2016 di tempat sendiri, menjuarai Piala Dunia 2018 dan tewa pada final Piala Dunia 2022 selain menjuarai Liga Negara-Negara Uefa 2021.
Penampilan terakhir penyerang Atlético Madrid itu untuk Perancis dalam saingan Liga Negara-Negara bulan ini selepas dia antara tonggak skuad yang ditewaskan Sepanyol pada separuh akhir Euro 2024.
“Banyak memori suka duka sebelum bersama skuad kebangsaan. Terima kasih di atas segala kenangan hebat. Hari ini saya umumkan persaraan daripada pasukan Perancis. Selepas sepuluh tahun, tiba masanya untuk saya berundur dan memberi ruang kepada generasi baharu,” kata Griezmann
Griezmann tampil kali pertama untuk Perancis pada Mac 2014 ketika menewaskan Belanda 2-0 dalam aksi persahabatan dan menyinar di bawah bimbingan Didier Deschamps yang mengendalikan pasukannya sejak 2012.
Pada 2016, Griezmann tampil tujuh perlawanan kettika Perancis mara ke final Kejohanan Eropah tetapi tewas 0-1 di tangan Portugal.
Dua tahun kemudian, dia beraksi semua perlawanan ketika Perancis menjuarai Piala Dunia di Rusia, menjaringkan empat gol termasuk penalti ketika menentang Croatia.
Secara keseluruhannya, Griezmann beraksi 137 perlawanan untuk Perancis dan menjaringkan 44 gol. Dia kerap menyatakan hasrat untuk menamatkan karier dengan beraksi di MLS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




