Grimsby singkir Man United, menang penalti 12-11

Grimsby singkir Man United, menang penalti 12-11

London: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata, pasukannya ‘hilang arah sepenuhnya’ selepas tersingkir daripada Piala Liga apabila mengalami kekalahan memalukan di tangan kelab divisyen keempat, Grimsby, awal pagi tadi.

Pasukan Liga Dua, Grimsby menang menerusi penentuan sepakan penalti yang panjang, 12-11 selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar sekali gus meningkatkan lagi tekanan ke atas jurulatih dari Portugal itu.

Selepas aksi babak pertama yang mengecewakan, United ketinggalan 0-2 hasil jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren.

Bryan Mbeumo mencetuskan kebangkitan lewat buat The Red Devils dengan jaringan sulungnya untuk kelab, sebelum tandukan Harry Maguire memaksa penentuan sepakan penalti.

Namun, selepas Matheus Cunha gagal menjaringkan penalti yang boleh menamatkan perlawanan, Mbeumo pula menyepak bola ke palang pada sepakan penentuan.

“Saya rasa pasukan terbaik menang, satu-satunya pasukan yang benar-benar berada di atas padang,” kata Amorim dalam kritikan tajam terhadap skuadnya.

“Satu pasukan boleh menang menentang mana-mana kumpulan pemain. Cara kami memulakan perlawanan tanpa sebarang intensiti. Kami hilang arah sepenuhnya dan sebab itu saya rasa pemain sudah bersuara dengan jelas.”

Amorim sudah pun menjadi sasaran kritikan selepas permulaan hambar United dalam musim Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih tanpa kemenangan.

Juara liga 20 kali itu menamatkan musim lepas di tangga ke-15, kempen liga terburuk mereka sejak penyingkiran pada tahun 1974.

Kini, salah satu daripada dua peluang realistik mereka untuk meraih trofi musim ini hilang dalam salah satu keputusan paling memalukan dalam sejarah kelab.

Amorim membuat lapan pertukaran daripada pasukan yang seri 1-1 dengan Fulham pada Ahad, namun tetap menurunkan barisan bernilai ratusan juta pound dan penuh dengan pemain antarabangsa.

Benjamin Sesko membuat penampilan sulungnya untuk United selepas perpindahan bernilai £74 juta (RM422 juta) dari RB Leipzig manakala Andre Onana kembali beraksi dalam malam yang ingin dilupakan oleh penjaga gol itu.

Grimsby menanti kunjungan United sejak 1948 dan bermula dengan garang di hadapan kira-kira 9,000 penyokong di Blundell Park.

Vernam meledak rembatan rendah ke tiang dekat menewaskan Onana pada minit ke-22, satu jaringan yang mengujakan penyokong tuan rumah.

Tuan rumah terus menunjukkan jurang tiga divisyen bukan penghalang dengan Cameron Gardner menjaringkan gol kedua tetapi dibatalkan kerana bola terkena tangan.

Namun, beberapa saat kemudian, Grimsby menggandakan kedudukan apabila Onana gagal menangkap bola sepakan sudut pantas dimanfaatkan Warren yang mudah menolak masuk.

Aksi buruk Onana mungkin mempercepatkan perpindahan penjaga gol Belgium, Senne Lammens, yang dikaitkan dengan United menjelang hari-hari terakhir jendela perpindahan.

Amorim bertindak balas dengan memasukkan kapten Bruno Fernandes, Mbeumo dan Matthijs de Ligt pada separuh masa untuk misi menyelamat.

Walaupun United menguasai separuh masa kedua, mereka kekurangan kreativiti sehinggalah Mbeumo melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang melencong ke penjuru bawah gawang.

Maguire yang turut digunakan sebagai penyerang kecemasan dalam era Amorim memberikan harapan buat pengurusnya apabila menanduk masuk sepakan penjuru Mason Mount pada minit ke-89.

Sesko kemudian mensia-siakan peluang keemasan untuk memenangi perlawanan lima minit dalam masa kecederaan yang memaksa penentuan penalti.

Cunha mempunyai peluang menamatkan perlawanan pada kedudukan 4-4, tetapi sepakannya diselamatkan oleh Christy Pym.

Selepas 15 sepakan penalti yang berjaya termasuk daripada kedua-dua penjaga gol, Mbeumo akhirnya gagal apabila bolanya terkena palang, sekaligus mengesahkan kekalahan United.

Sementara itu, Brighton mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-0 ke atas Oxford apabila Stefanos Tzimas menjaringkan dua gol dalam penampilan sulungnya.

Fulham dan Everton turut mara dengan kemenangan 2-0 masing-masing ke atas Bristol City dan Mansfield.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top