GRO warga Maghribi antara 23 ditahan

GRO warga Maghribi antara 23 ditahan

#taskid

KLNEWS

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Tiga gadis pelayan pelanggan (GRO) antaranya warganegara Maghribi antara 23 individu ditahan menerusi serbuan Op Gegar dan Op Selera ke atas dua premis berasingan di sekitar Puchong, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, keseluruhannya 37 individu diperiksa dalam operasi bermula 6.30 petang itu

“Serbuan pertama membabitkan sebuah bar dan bistro di mana 27 individu diperiksa dan 17 pekerja lelaki iaitu 16 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh ditahan.

“Serbuan kedua pula ke atas sebuah pusat hiburan di mana 10 individu diperiksa dan enam ditahan terdiri daripada tiga pekerja lelaki warga Bangladesh.

“Selebihnya, tiga wanita disyaki GRO iaitu masing-masing seorang warga Thailand, Vietnam, dan Maghribi,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan ada beberapa cubaan untuk melarikan diri termasuk bersembunyi di dalam almari dan menyamar sebagai pelanggan namun gagal memperdaya pasukan serbuan.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) terbabit bekerja kira-kira enam bulan di premis terbabit.

Menurutnya, mereka masuk sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau laluan darat di Bukit Kayu Hitam yang diuruskan oleh ejen.

Kesemua Pati berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal lebih masa) dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 (salah guna pas).

From: HFtt

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top