suliati@hmetro.com.my
Perkenalan bermula sekadar dalam permainan dalam talian namun akhirnya membawa kepada permintaan gambar tidak senonoh.
Itu antara situasi sebenar yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui platform permainan.
Hubungan yang pada awalnya sekadar persahabatan bertukar berisiko apabila individu terbabit mula meminta gambar tidak sepatutnya, sebelum disedari ibunya.
Situasi seperti ini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya mencerminkan realiti yang semakin membimbangkan.
Had umur 16 tahun bukan ditetapkan secara sewenang-wenangnya. Pada peringkat ini, perkembangan kognitif dan emosi remaja masih dalam fasa pembentukan, khususnya dalam aspek kawalan diri, penilaian risiko dan keupayaan membuat keputusan. Ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada manipulasi, eksploitasi dan tekanan sosial dalam talian berbanding golongan lebih dewasa.
Keadaan ini menjadikan golongan bawah 16 tahun lebih mudah terdedah kepada interaksi berisiko dalam talian, khususnya apabila mereka aktif menggunakan peranti digital tanpa pemahaman mencukupi mengenai keselamatan.
Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, kebanyakan kanak-kanak hari ini sudah memiliki telefon pintar dan akses kepada media sosial sejak usia muda, namun tahap kematangan mereka masih belum berkembang sepenuhnya untuk menilai risiko.
“Dari segi perkembangan kognitif, mereka masih belum mampu membezakan sama ada sesuatu maklumat itu boleh dipercayai atau tidak.
“Dalam masa sama, keinginan untuk bersosial membuatkan mereka mudah mempercayai individu lain, termasuk yang tidak dikenali, tanpa menyedari risiko sebenar,” katanya.
Dr Noor Aishah berkata kandungan dalam talian yang paling mudah menarik perhatian kanak-kanak termasuk permainan dengan fungsi chat, kandungan seksual yang memikat, scam untuk mengambil wang, serta trend self-harm yang tular di media sosial.
“Apabila kanak-kanak berinteraksi dengan kandungan ini dan mendapat pujian atau perhatian, mereka akan berkongsi maklumat peribadi, gambar, atau nombor telefon tanpa sedar sedang dieksploitasi.
“Interaksi manipulatif seperti grooming memberi kesan besar kepada perkembangan psikologi kanak-kanak.
“Kesan jangka pendek termasuk rasa takut, bersalah, kebimbangan, murung, hilang fokus, dan menarik diri. Dalam jangka panjang, ia boleh membawa kepada trauma, kemurungan, dan kecenderungan mencederakan diri sendiri.
“Bagi kanak-kanak yang dipermainkan secara seksual atau kewangan, tekanan berpanjangan ini boleh berlaku walaupun tanpa sentuhan fizikal,” katanya.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kanak-kanak tidak menyedari mereka sedang berdepan risiko kerana menganggap perhatian yang diterima sebagai sesuatu yang positif.
Malah, faktor seperti takut dimarahi, malu atau merasa bersalah menjadi antara punca utama mengapa kes sebegini tidak dilaporkan kepada ibu bapa atau pihak berkuasa.
Dalam sesetengah kes, manipulasi emosi menyebabkan kanak-kanak terus berdiam diri.
Ini juga menunjukkan langkah keselamatan digital sedia ada masih belum mencukupi untuk melindungi kanak-kanak sepenuhnya.
Justeru, Dr Noor Aishah berkata ibu bapa perlu memainkan peranan aktif, termasuk menggunakan kawalan ibu bapa, memantau penggunaan peranti dan membina komunikasi terbuka dengan anak.
“Didik anak mengenai perbezaan antara pergaulan sihat dan manipulasi. Tubuh badan adalah hak mereka sendiri dan jangan dedahkan gambar atau maklumat peribadi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, isu keselamatan kanak-kanak dalam ekosistem digital hari ini adalah cabaran yang sangat dinamik.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman dalam menangani isu pengguna siber, kes paling kerap dikesan membabitkan golongan ini adalah eksploitasi seksual (sexual grooming), buli siber, dan kini yang semakin membimbangkan adalah perjudian dalam talian.
“Banyak kes bermula di platform permainan video atau media sosial, di mana pemangsa menyamar sebagai rakan sebaya untuk membina kepercayaan.
“Bagi kes perjudian pula, ia sering menyamar sebagai permainan biasa yang menawarkan ganjaran melalui mekanisma seperti loot boxes, menyebabkan kanak-kanak terjebak di dalam kitaran ketagihan bertaruh tanpa mereka sedari,” katanya.
Siraj berkata, isu interaksi dengan individu tidak dikenali berlaku secara meluas tanpa disedari ibu bapa disebabkan jurang digital dan penggunaan aplikasi yang mempunyai ciri mesej hilang secara automatik.
“Ramai ibu bapa beranggapan anak mereka hanya bermain permainan video secara pasif, walhal di sebalik skrin itu, interaksi sosial tanpa sempadan sedang berlaku secara aktif.
“Kandungan berbahaya seperti iklan perjudian juga muncul secara agresif dan licik melalui visual berwarna-warni, yang akhirnya membawa kepada pendedahan kandungan dewasa atau berunsur jenayah siber lebih serius,” katanya.
Banyak kes tidak dilaporkan kerana stigma, rasa malu dan ketakutan, selain wujud normalisasi dalam kalangan remaja yang menganggap gangguan siber sebagai perkara biasa.
Dalam masa sama, kelemahan sistem seperti pengesahan umur yang longgar serta kawalan transaksi yang tidak ketat turut menyumbang kepada peningkatan risiko.
“Kebanyakan platform hanya bergantung kepada pengakuan kendiri yang mudah dimanipulasi.
“Malah, sistem transaksi mikro dan e-dompet juga mempunyai jurang yang membolehkan kanak-kanak melakukan pembayaran tanpa kawalan,”katanya.
Sehubungan itu, Siraj menegaskan keperluan langkah lebih tegas termasuk mewajibkan pengesahan biometrik atau kata laluan bagi setiap transaksi mikro untuk menghalang kehilangan wang melalui auto-debit yang sering menyebabkan ibu bapa terjerat dengan hutang kad kredit.
Selain itu, menurutnya pendidikan literasi digital yang proaktif harus ditekankan kepada ibu bapa agar mereka mahir menggunakan ciri Parental Control dan mengawal selia kandungan perjudian tersirat dalam aplikasi hiburan.
“Harapan saya adalah untuk melihat pembentukan ekosistem digital yang safe by design di mana ciri keselamatan adalah keutamaan dan bukannya pilihan tambahan.
“Kita mahukan suasana di mana teknologi menjadi alat pemungkin kemajuan tanpa mengorbankan maruah, keselamatan dan integriti kewangan keluarga.
“Perkembangan ini turut mengukuhkan keperluan pendekatan lebih tegas dalam memastikan platform digital menyediakan persekitaran yang selamat, khususnya bagi pengguna bawah umur, termasuk aspek pengesahan umur dan perlindungan kandungan.
“Kerjasama kolektif antara kerajaan, NGO dan komuniti juga adalah kunci utama bagi memastikan anak-anak kita tidak terus menjadi mangsa manipulasi dalam dunia yang tanpa sempadan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




