syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia terus memperkukuh peranan sebagai peneraju reformasi peraturan serantau apabila menjadi tuan rumah Mesyuarat ke-10 Rangkaian Amalan Kawal Selia yang Baik (GRPN) ASEAN – Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu menghimpunkan pegawai kanan, pembuat dasar dan pakar dari seluruh negara anggota ASEAN dan OECD bagi meraikan sedekad kerjasama dalam mempromosikan tadbir urus yang berasaskan bukti, telus dan berkesan.
Bertemakan From Policy to Impact: Ten Years of the ASEAN-OECD Good Regulatory Practice Network, mesyuarat itu mengulangi komitmen bersama rantau ini untuk menjadikan Amalan Baik Peraturan (GRP) sebagai asas kepada daya saing, kepercayaan dan pembangunan mampan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jaringan itu memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan inklusif dan berkekalan di rantau ini.
“Kemajuan ASEAN dalam membina sistem peraturan yang telus dan boleh dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur, menyokong inovasi serta meningkatkan daya tahan ekonomi.
“Peraturan yang baik kekal penting dalam memastikan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat sambil menjamin kestabilan jangka panjang,” katanya dalam mesyuarat yang bertempat di Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MPC, Datuk Kamaruzzaman Johari, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa dan Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, ketika ASEAN bersiap sedia untuk kepengerusiannya tahun ini di bawah tema Inclusivity and Sustainability, peraturan yang baik kekal penting dalam memastikan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat sambil menjamin kestabilan jangka panjang.
Katanya, sejak sedekad lalu, GRPN ASEAN-OECD berkembang daripada satu dialog dasar kepada platform praktikal untuk pembaharuan dan kerjasama, dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mempermudah urusan pendaftaran perniagaan, memperkukuh tadbir urus digital serta meningkatkan koordinasi peraturan.
“Usaha ini terbukti berjaya apabila produktiviti buruh ASEAN meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul kira-kira 2.45 peratus dari tahun 2014 hingga 2023, menunjukkan bagaimana kecekapan peraturan dan inovasi mendorong daya saing serantau.
“Bukan itu sahaja, contoh utama bagi perkara berkenaan adalah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada yang merangkumi bab khusus mengenai GRP.
“Bersama-sama dengan ASEAN GRP Core Principles (2018), the ASEAN Handbook on GRP (2022) and the ASEAN GRP Work Plan 2016-2025, ini mencerminkan tekad bersama ASEAN untuk menterjemahkan prinsip tadbir urus yang baik kepada hasil yang boleh diukur,” katanya.
Katanya, perjalanan reformasi industri dan ekonomi Malaysia turut diperkukuh melalui The Bureaucratic Reform Programme dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang kini menginstitusikan amalan GRP di seluruh kementerian dan agensi.
“Dengan mengurangkan karenah birokrasi, kita bukan sahaja mempercepat penyampaian perkhidmatan, tetapi turut meningkatkan produktiviti negara.
“Setakat ini, lebih 1,000 projek penambahbaikan peraturan dilaksanakan di peringkat nasional yang menjana lebih RM1.1 bilion penjimatan kos pematuhan,” katanya.
Beliau turut menggariskan tiga keutamaan strategik bagi dekad akan datang untuk memacu rantau ini ke arah kecemerlangan peraturan, termasuk meningkatkan integrasi serantau melalui GRP, mengintegrasikan GRP dalam masa depan ASEAN serta menekankan pelaksanaannya dalam tadbir urus harian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




