yusmizal@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Situasi genting membabitkan sukarelawan negara yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza membangkitkan solidariti pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang dan status.
Rata-rata pengguna media sosial mengutuk tindakan rejim zionis itu yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan berat sebelah terutama ketika penduduk Gaza sedang menanti bantuan daripada flotila berkenaan.
Tidak ketinggalan, beberapa badan bukan kerajaan, pemimpin politik dan aktivis kemanusiaan yang menanti dengan penuh debaran nasib peserta GSF yang sudah berlayar sejak lebih sebulan lalu.
Antaranya UMNO Wilayah Persekutuan yang turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera rejim Israel yang sedang menahan 497 aktivis dari 46 negara di dunia.
Dalam satu kenyataan, pihaknya berkata, misi berkenaan dijalankan dengan tujuan murni iaitu kemanusiaan ke bumi Gaza.
Tindakan menahan aktivis secara terang mencabul hak asasi dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, “katanya.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) pula menyifatkan penahanan itu sebagai satu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya bersama masyarakat antarabangsa dalam menuntut pembebasan segera semua sukarelawan berkenaan serta mendesak kezaliman terhadap rakyat Palestin dan mereka yang membantu perjuangan kemanusiaan dihentikan serta-merta.
“Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk terus bersolidariti, memperkukuh sokongan, dan tidak gentar menyuarakan kebenaran demi membela rakyat Palestin yang tertindas, “katanya.
Sementara itu, PAS menyifatkan tindakan menahan peserta ini adalah penghinaan terhadap usaha kemanusiaan global yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mendesak Wisma Putra bertindak segera melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa untuk memastikan keselamatan serta pembebasan semua rakyat Malaysia dan peserta lain yang ditahan.
“Kita menggesa kerajaan supaya segera mengadakan sesi khas sempena sidang Parlimen yang akan bermula 6 Oktober ini bagi membolehkan insiden ini dan isu-isu berkaitan dibahaskan, sekali gus membolehkan satu ketetapan rasmi Parlimen Malaysia dibuat sebagai suara kolektif seluruh rakyat Malaysia, “katanya.
Bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tanjung Malim, Israel sekali lagi menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai sebuah entiti yang tidak pernah menghormati undang-undang antarabangsa.
“Rejim itu melanggar United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), Konvensyen Geneva, serta prinsip asas hak asasi manusia. Alasan “blockade” yang digunakan sama sekali tidak sah, malah blockade Israel ke atas Gaza sendiri adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa.
“Tindakan tidak berasas ini ialah satu bentuk hukuman terancang yang mengakibatkan kebuluran dan penderitaan rakyat Palestin yang tidak berdosa, “katanya dalam satu kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




