GSF buka laluan lebih banyak bantuan ke Gaza – Mahadi

GSF buka laluan lebih banyak bantuan ke Gaza – Mahadi

georgie@hmetro.com.my

Sepang: Usahawan, Datuk Mahadi Badrul Zaman tidak melihat misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) satu pembaziran seperti dibangkitkan segelintir pihak yang tidak faham akan kepentingan perjuangan itu.

Mahadi turut menjelaskan isu-isu yang lain tercetus seperti pertikaian mengapa menghantar peserta wanita termasuk isterinya penyanyi juga aktivis kemanusiaan Nur Heliza Helmi, 39.

“Saya baca banyak komen, antaranya yang berpandangan misi ini merugikan kerana tidak sampai ke Gaza selain isu-isu lain yang dibangkitkan seperti keperluan menghantar wanita dan sebagainya.

“Ramai yang tidak faham sebenarnya. Jadi saya ambil inisiatif untuk bantu terangkan banyak perkara mengenai kenapa GSF ini perlu diteruskan. Bantuan banyak dan kita sebenarnya tidak membazir pun.

“Objektif utama kita nak pecahkan dulu sekatan kemudian buka mata dunia mengenai kesengsaraan Palestin. Selepas itu baharu membuka laluan lebih banyak untuk membawa bantuan sampai ke Gaza,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1).

Mahadi yang hadir menyambut kepulangan Heliza bersama 22 peserta GSF dari Malaysia turut sebak seketika apabila akhirnya dapat bersatu kembali dengan isteri tercinta selepas saat getir menimpa Heliza.

Menurutnya, dia tidak tahu doa siapa yang termakbul apabila melihat kesungguhan ribuan hadir menyambut sama kepulangan sukarelawan itu.

“Semestinya tak dapat gambarkan perasaan itu. Beberapa kali saya sujud syukur. Kita tahu perjuangan mereka ini, kebarangkalian untuk mereka tidak pulang, ada.

“Tapi dengan izin Allah, dan bantuan kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah semua lancar.

“Sambutan rakyat Malaysia MasyaAllah memenuhi setiap penjuru pintu masuk aras tiga lapangan terbang, Alhamdulillah,” katanya.

Pada Ahad lalu, Heliza bersama 22 peserta konvoi misi bantuan GSF dari Malaysia dibawa keluar dari Gaza dengan penerbangan khas kerajaan Turkiye ke Istanbul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top