GSF mulakan pelayaran akhir pecah kepungan haram Israel ke atas Gaza

GSF mulakan pelayaran akhir pecah kepungan haram Israel ke atas Gaza

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rombongan Global Sumud Flotilla (GSF) kini memulakan peringkat akhir pelayaran bersejarah untuk membantu memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza.

GSF dalam kenyataannya berkata, sebanyak 18 bot berlepas dari Catania, Itali pada Sabtu lalu manakala puluhan lagi berangkat dari Tunisia dan Greece, semalam dan hari ini.

Katanya, keseluruhan armada itu akan berkumpul di perairan antarabangsa untuk meneruskan pelayaran bersama menuju ke Gaza.

“Rombongan GSF berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk dua serangan dron ke atas kapal di Tunisia, halangan logistik dan kekurangan bahan api.

“Situasi itu menyebabkan pelepasan ke Gaza tertangguh selain ancaman keras Menteri Israel Ben-Gvir terhadap penumpang GSF.

“Kami menjalankan perancangan keselamatan tambahan yang meluas untuk memperkukuh kawalan kami,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kelancaran misi, GSF memindahkan beberapa kapal ke pelabuhan lain untuk persiapan akhir, menjalankan ujian laut dan menyesuaikan protokol keselamatan.

Katanya, hasil perubahan itu, rombongan GSF terpaksa membuat keputusan mengurangkan kapasiti peserta di beberapa kapal menuju ke Gaza.

“Sukarelawan mengharungi banyak cabaran, sebahagiannya akibat serangan sengaja terhadap misi kami dan sebahagian lagi kerana kesilapan percaturan di sepanjang perjalanan,” katanya.

Jawatankuasa pemandu GSF turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang kekal komited terhadap perjuangan berkenaan.

“Kami bekerjasama rapat dalam semangat solidariti kerana semua tetap komited untuk meneruskan misi ini, memimpin mobilisasi dan memperkuat gerakan solidariti global untuk Palestin,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan perubahan strategik membolehkan perlindungan peserta dipertingkatkan selain memastikan impak misi terus terpelihara.

“Perubahan strategik pada rancangan kami akan membolehkan kami melindungi peserta dengan lebih baik setakat yang mungkin, memelihara impak misi dan menunjukkan daya tahan gerakan global untuk Palestin.

“Apabila armada kami bersatu di Mediterranean, mesej jelas dihantar iaitu kepungan dan genosid di Gaza mesti dihentikan,” katanya.

Untuk rekod, GSF adalah misi kemanusiaan terbesar dalam sejarah dunia apabila disertai lebih 1,000 aktivis dari 44 negara yang mempertaruhkan nyawa merentasi Laut Mediterranean untuk memecah sekatan dikenakan Israel terhadap Gaza.

Kumpulan itu bergerak dengan lebih 50 kapal flotila membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang disekat sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top