amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kesedaran antarabangsa mula beralih apabila negara-negara yang sebelum ini dilihat lebih rapat dengan Israel semakin lantang menyokong usaha menjadikan Palestin sebuah negara merdeka dan berdaulat serta menuntut rejim zionis menghentikan kezaliman.
Ketua Panji Sumud Nusantara yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, perubahan itu turut dipacu oleh kebangkitan rakyat Eropah dan tekanan untuk meluahkan sifat kemanusiaan semakin tinggi di peringkat global membabitkan isu Palestin.
Beliau berkata, ia juga kesan misi Global Sumud Flotilla (GSF) bersama gabungan flotila antarabangsa terbesar dunia pada masa ini yang memberi tumpuan untuk membuka koridor kemanusiaan serta memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza supaya bantuan makanan dan ubat-ubatan dapat sampai.
“Sahabat-sahabat kita yang menaiki bot-bot lain masih lagi bergerak menuju ke Gaza dan dijangka pada Selasa malam atau Rabu pagi mereka akan masuk ke kawasan zon merah dan mungkin bermulanya kawasan serangan pada saat itu.
“Saya masih berada di Greece, sedang berlayar dan cuba sampai kepada mereka bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, insya-Allah,” katanya berkongsi perkembangan terkini kepada wartawan menerusi WhatsApp audio, malam tadi.
Menurut Nadir, matlamat utama gerakan itu bukan sekadar penyampaian bantuan, tetapi juga mengubah naratif geopolitik.
“Kita melihat perubahan khususnya dari negara-negara Eropah, kebangkitan rakyat yang menolak kerjasama dan sokongan selama ini bersama Israel, menunjukkan peralihan menyokong dan mengiktiraf Palestin.
“Pastinya inilah langkah yang kita tunggu selama ini, tidak boleh diubah secara kekerasan tetapi melalui perubahan-perubahan kecil, melalui perubahan-perubahan ‘legal’ ini boleh dilaksanakan dan membawa perubahan insya-Allah ke arah pembebasan Palestin daripada penjajah Israel,” katanya.
Sehingga September ini, sebanyak 157 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, mewakili kira-kira 81 peratus komuniti antarabangsa.
Pada Mesyuarat Agung PBB baru-baru ini, lebih 140 negara menyokong resolusi berkaitan penyelesaian dua negara, menolak keganasan dan menyatakan sokongan jelas terhadap masa depan Palestin.
Malah, beberapa negara Barat yang sebelum ini enggan membuat langkah rasmi turut mengumumkan pengiktirafan atau tindakan diplomatik menyokong Palestin termasuk United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Portugal dan Perancis, selain negara Eropah kecil seperti Malta, Belgium, Andorra dan Monaco.
Dalam konteks misi flotila, Nadir berkata, perjalanan setakat ini masih mengikut perancangan walaupun berdepan risiko keselamatan termasuk sabotaj dan kerosakan teknikal pada beberapa bot.
“Pastinya apa yang sedang dilaksanakan memberi impak yang begitu besar kepada keadaan geopolitik kerana ia membuka peluang untuk koridor kemanusiaan dibuka, bukan saja bagi flotila ini tetapi juga misi lain yang sedang bergerak ke Gaza,” katanya.
Pelayaran GSF membabitkan penyertaan sukarelawan daripada 45 negara.
Mereka yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan itu dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




