Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui bahawa pasukannya berada dalam situasi yang belum pernah mereka alami sepanjang lapan tahun di bawah kendaliannya apabila tewas 0-4 kepada Tottenham di Etihad.
Kekalahan itu juga menamatkan rekod 52 perlawanan tanpa kalah di tempat sendiri.
James Maddison mencipta magis pada hari lahirnya yang ke-28 dengan dua gol di separuh masa pertama, sebelum Pedro Porro menambah luka bekas kelabnya.
Brennan Johnson melengkapkan kemenangan besar Spurs yang meninggalkan City dengan lima kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.
City kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang akan bertemu Southampton hari ini.
Kekalahan kepada Liverpool minggu hadapan berkemungkinan besar memadamkan harapan City untuk mempertahankan kejuaraan sekiranya jurang menjadi 11 mata.
Guardiola, yang baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak hingga 2027, berharap berita itu akan membawa semangat positif kepada pasukan namun, realitinya berbeza.
“Dalam lapan tahun, kami tidak pernah menghadapi situasi seperti ini,” kata Guardiola.
“Sekarang kami perlu melaluinya dan memecah kebuntuan dengan memenangi perlawanan seterusnya, terutama yang akan datang. Mungkin dalam beberapa minggu, pandangan kami akan berubah.”
City sebenarnya bermula dengan baik, tetapi tersentak apabila Maddison menjaringkan gol pembukaan menerusi serangan pertama Spurs.
City, yang mencipta sejarah dengan memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris berturut-turut, kini berdepan cabaran besar untuk bangkit daripada siri kekalahan mengejut.
“Kami agak rapuh ketika ini. Sukar untuk menjaringkan gol dan apabila mereka mendapat peluang, mereka terus mencetak gol,” tambah Guardiola.
“Pasukan kami bermain dengan sedikit keraguan dan negatif, tetapi itu normal. Bola sepak berkait rapat dengan mood. Apabila anda menang banyak, keyakinan diri datang dengan sendirinya. Tetapi apabila tewas tiga kali berturut-turut dalam liga, perasaan itu memang ada.”
City seterusnya akan menghadapi Feyenoord dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu ini sebelum pertemuan penting dengan Liverpool.
© New Straits Times Press (M) Bhd




