Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menggesa pemainnya supaya melupakan segala kiraan kedudukan lapan teratas menjelang perlawanan terakhir fasa kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara paling penting, menewaskan wakil Turkiye, Galatasaray.
Selepas kekalahan mengejut 1-3 kepada Bodo/Glimt di Norway minggu lalu, City kini berada di tangga ke-11 carta UCL dan berada di luar kelompok lapan terbaik berdasarkan perbezaan gol.
Lapan pasukan teratas akan mara secara automatik ke pusingan 16, manakala pasukan di kedudukan kesembilan hingga ke-24 perlu melalui pusingan play-off untuk menentukan baki slot.
City, juara UCL 2023, adalah antara lapan pasukan yang mengumpul 13 mata selepas tujuh perlawanan, dengan jurang hanya tiga mata memisahkan pasukan di tempat ketiga hingga ke-15.
Mereka perlu menewaskan Galatasaray di laman sendiri serta mengharapkan keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka bagi mengelak play-off, dengan perbezaan gol dijangka memainkan peranan penting.
“Saya lebih suka jika kami ada mata yang lebih, tetapi inilah apa yang kami layak dapat. Kami perlu fokus dan cuba menang perlawanan kami, kemudian lihat di mana kedudukan kami.
“Kita akan lihat keputusannya dalam 10 minit terakhir dan kemudian baru fikirkan tentang perbezaan gol. Kami perlu fokus kepada permainan sendiri, itu kuncinya. Kami akan cuba menang esok.
“Galatasaray sedang mendahului liga Turkiye dan semua pemain mereka luar biasa. Kualiti yang mereka ada… kami perlu berikan usaha luar biasa bersama penyokong kami,” kata Guardiola kepada media
City turun ke perlawanan itu dengan penyerang utama Erling Haaland bergelut untuk menjaringkan gol.
Selepas permulaan musim yang cemerlang dengan 39 gol dalam 36 perlawanan bersama kelab dan negara, pemain Norway itu hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan perlawanan terakhir dan direhatkan ketika City menang 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers.
© New Straits Times Press (M) Bhd



