Barcelona: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mencuri perhatian peminat apabila tampil dengan gaya baharu sepanjang cuti musim panas meninggalkan penampilannya janggut ikoniknya dan kini hanya menyimpan misai.
Guardiola, 54, yang sedang menikmati waktu rehat bersama skuad City selepas musim 2024-25 yang panjang dan berakhir dengan penampilan di Piala Dunia Kelab FIFA, dilihat mengunjungi Klinik Monarka di Barcelona pusat pemulihan berprestasi tinggi dan rawatan regeneratif.
City tersingkir daripada kejohanan itu selepas tewas mengejut 3-4 kepada kelab Arab Saudi, Al-Hilal 30 Jun lalu dalam aksi masa tambahan.
Namun apa yang lebih mencuri tumpuan penyokong adalah penampilan baharu Guardiola apabila hadir ke klinik itu tanpa janggut, sebaliknya hanya dengan misai tebal, gaya yang berbeza sama sekali daripada imej biasanya.
Beberapa penyokong The Citizens menyambut penampilan itu dengan penuh semangat dan gurauan, dengan ada yang menganggap ia sebagai petanda kebangkitan semula City untuk musim baharu selepas musim lalu yang agak mengecewakan.
“Seluruh Liga Perdana patut mula gementar sekarang,” tulis seorang penyokong di media sosial.
“Tak mungkin kita tak menang liga dengan misai macam tu,” usik seorang lagi.
“Kami datang untuk rampas semula takhta. Pep dengan misai baharu, kami kembali!” tambah seorang peminat lain.
Tidak kurang juga yang membandingkan penampilan baharu Guardiola dengan watak Ted Lasso daripada siri popular Apple TV, yang mana Guardiola pernah membuat penampilan khas sebelum ini.
“Pep Guardiola sekarang ada misai ala Ted Lasso. Mungkin cara ini untuk ubah nasib City selepas musim lepas yang hancur,” komen seorang pengguna X.
Penampilan baharu itu turut mengingatkan peminat kepada detik pada 2021 apabila Guardiola secara terbuka memuji wartawan TNT Sports, Fred Caldeira, kerana memiliki misai.
“Saya suka misai awak, Fred. Awak sangat menarik dan seksi,” kata Guardiola ketika sidang media. Caldeira membalas dengan memberitahu dia sebelum itu mempunyai janggut yang telah dicukur.
Kunjungan Guardiola ke Klinik Monarka juga hadir sebulan selepas beliau diumumkan sebagai salah seorang pelabur di pusat rawatan itu.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu sebelum ini pernah mendedahkan mengalami masalah sakit belakang kronik yang berjaya dikurangkan hasil rawatan daripada pakar bedah saraf, Dr Mireia Illueca.
Selepas melawat pelaburannya, Guardiola dijangka kembali mengetuai sesi latihan pramusim City bermula Isnin ini.
Setakat ini, City hanya dijadualkan mengharungi satu perlawanan persahabatan menjelang musim baharu, iaitu menentang kelab Itali, Palermo pada 9 Ogos.
Kempen EPL mereka akan bermula pada 16 Ogos menentang Wolverhampton Wanderers.
© New Straits Times Press (M) Bhd