Manchester: Pep Guardiola menggesa Chelsea memberikan masa kepada bekas pembantunya di Manchester City, Enzo Maresca sebagai pengendali.
Guardiola yakin Maresca akan berjaya di Stamford Bridge selepas memenangi Liga Kejuaraan bersama Leicester jika The Blues terus menyokongnya.
Maresca adalah pengendali tetap keempat Chelsea sejak tahun 2021, apabila dia dilantik pada Julai dan Guardiola berkata, semua pengendali memerlukan masa untuk berjaya.
City memulakan kempen memburu gelaran Liga Perdana Inggeris kelima berturut-turut di Chelsea esok dan Guardiola berkata: “Nasihat saya ialah berikan dia masa. Nasihat saya buat pemilik Chelsea ialah berikan dia masa dan ia akan berhasil.
“Semua pengendali memerlukan masa, bukan? Saya tidak tahu jika Chelsea ialah tempat untuk melakukannya, tetapi berikan dia masa dan ia akan berhasil, itu pendapat saya.”
Maresca pernah membimbing skuad bawah 21 tahun Chelsea sebelum menjadi pembantu Guardiola ketika memenangi treble dan pengendali City itu berkata, semua kejayaan pengendali dari Itali berkenaan selepas itu adalah hasil usahanya sendiri.
“Apa yang dilakukan Enzo di Leicester adalah usahanya sendiri, pembantunya dan pemain-pemainnya. Leicester kembali ke Liga Perdana Inggeris semula dan ia tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




