ARAU: Semua ahli Parlimen serta pemimpin parti politik tanpa mengira fahaman politik dan bangsa
perlu bersama-sama dalam mengangkat isu pemandu mabuk bagi memastikan undang-undang yang lebih tegas dapat dikenakan berhubung kesalahan berkenaan.
Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman lebih tegas kepada pesalah pemandu mabuk bukan sekadar
menggantung lesen atau sebagainya.
Katanya, hukuman yang dikenakan mestilah setimpal, adil tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang kaum dengan keutamaan adalah demi keadilan untuk mangsa.
“Saya juga menggesa agar penguatkuasaan dipertingkatkan, termasuk operasi bersepadu lebih kerap bagi membendung kesalahan ini.
“Sudah tiba masanya, ahli Parlimen dan semua ahli politik tegas dan tanpa sebarang kompromi dalam mengangkat isu ini (pemandu mabuk).
“Pada masa sama, semua pihak bertanggungjawab wajib segera menggubal akta khusus bagi kesalahan melibatkan pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan terutama membabitkan kematian kerana setiap nyawa terkorban wajib dibela dan nasib keluarga mangsa mesti diambil kira,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Wan Zikri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, kejadian membabitkan pemandu mabuk itu bukan sahaja mengundang risiko keselamatan pengguna jalan raya, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan ia sama sekali tidak boleh dikompromi.
“Saya ingin merakamkan rasa simpati, keprihatinan dan salam takziah kepada keluarga mangsa. Saya berharap pihak sepatutnya memastikan mangsa mendapat perhatian sewajarnya, termasuk bantuan yang diperlukan.
“Tindakan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu kesalahan berat dan berbahaya.
Saya menyokong penuh tindakan tegas pihak berkuasa dalam mengambil tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap pelaku.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tiada siapa berhak mempertaruhkan nyawa orang lain,” katanya.-UTUSAN




