JOHOR BAHRU: Satu undang-undang baharu perlu digubal jika akta sedia ada gagal atau tidak berkesan dalam menghukum mereka yang menghina agama, menyerang institusi negara dan Perlembagaan Negara dalam media sosial.
Gesaan itu dibuat Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) dan Majlis Ayahanda Johor (MAJ) kerana siasatan dan tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dilihat seakan-akan sudah tidak relevan lagi.
Bendahari Masia, Zamrin Hamzah berkata, undang-undang baharu itu juga perlu lebih tegas sekali gus dapat memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa perbuatan menyentuh sensitiviti masyarakat atau jenayah siber dapat dibendung.
“Kita perlu mencontohi negara lain seperti Singapura atau beberapa negara maju di Eropah yang sudah ada akta khas bagi menghukum mereka yang melakukan kesalahan dalam media sosial khususnya Facebook.
“Kalau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai tugas tetapi tidak ada bidang kuasa, kita berikan kuasa kepada SKMM dengan mewujudkan undang-undang baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, hari ini terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung kenyataan yang dimuat naik pemimpin politik berkenaan dalam laman sosial miliknya, baru-baru ini.
Yang hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAJ, Mohd. Fairuz Iskandar Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINEÂ