Gudang jual jam berjenama tiruan diserbu KPDN

Gudang jual jam berjenama tiruan diserbu KPDN

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sebuah gudang yang disyaki menjual pelbagai jam tangan berjenama tiruan di sekitar bandar raya itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan 11.30 pagi bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di gudang yang beroperasi tanpa sebarang papan tanda perniagaan.

Beliau berkata, tindakan dilakukan berdasarkan aduan dan hasil risikan yang dilakukan sejak awal November ini.

“Hasil serbuan itu mendapati pemilik perniagaan dalam lingkungan usia 42 tahun bersama-sama empat pekerja bergiat aktif menjual jam tangan tiruan berjenama secara dalam talian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 493 unit jam tangan pelbagai model berjenama dan 1,800 unit kotak jam tangan berlabel jenama terkenal itu disahkan tiruan oleh wakil pemilik cap dagangan sebelum disita bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM12,070 dan kes disiasat Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019

Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my , Call Centre 1-800-886-800, E-mel e-aduan@kpdn.gov.my dan Aplikasi EZ ADU KPDN.

Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top