am@hmetro.com.my
Labuan: Kegiatan sindiket penyeludupan rokok yang menjadikan sebuah gudang sebagai stor simpanan bekalan terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) dalam satu operasi khas di Kampung Batu Manikar, di sini, semalam.
Dalam serbuan 9.30 pagi itu, PPM Wilayah 4 Sabah turut menahan lapan individu warga tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun, dipercayai terbabit dalam aktiviti penyimpanan barangan seludup berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya mengesan premis mencurigakan serta beberapa kenderaan yang berada di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenama rokok tidak bercukai dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Sebanyak 5,320,400 batang rokok berjaya dirampas bernilai RM5.05 juta dan lapan individu ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan yang digunakan dalam kegiatan itu, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM7.01 juta.
Nazri berkata, komitmen PPM Sabah dalam memerangi jenayah penyeludupan terus diperkukuh bagi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam di perairan negara.
“Sepanjang 2025, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 139 kes rampasan membabitkan tangkapan seramai 139 individu, dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM52 juta.
“Antara kes tertinggi melibatkan penyeludupan rokok, minuman keras, penyelewengan minyak subsidi serta barangan kawalan lain di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut memberi fokus terhadap kes jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang aktif di perairan negara.
“PPM juga giat melaksanakan rondaan di kawasan panas (hot spot) yang bersempadan dengan negara jiran, termasuk di perairan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




